Peruntukan pendidikan tertinggi dalam sejarah negara pada pembentangan Belanjawan 2025 membuktikan kerajaan Madani menjamin kualiti pendidikan terbaik buat generasi muda.
Ketua Biro Pendidikan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pahang, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, kesungguhan Kerajaan Madani itu terbukti dengan peruntukan RM64.1 bilion pada belanjawan kali ini berbanding RM58.7 bilion pada 2024 lalu.
"Ini sekaligus menunjukkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan Madani terhadap usaha memartabatkan pendidikan anak bangsa Malaysia.
"Peningkatan peruntukan ini mencerminkan hasrat tulus kerajaan untuk memperkukuh sistem pendidikan negara dan melambangkan kesungguhan dalam memastikan akses pendidikan berkualiti untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, KEADILAN Pahang percaya peruntukan itu akan membawa perubahan positif yang menyeluruh, termasuk penambahbaikan infrastruktur pendidikan, peningkatan program pembelajaran, serta kebajikan para guru dan pelajar.
"Biro Pendidikan MPN Pahang menyambut baik langkah ini yang bakal memberi impak signifikan kepada pembangunan modal insan di negeri Pahang, khususnya dan Malaysia amnya.
"Inisiatif ini akan memastikan generasi muda Malaysia dilengkapi ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi cabaran masa hadapan, seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara," katanya lagi.
Dr Hassan Basri turut berbangga kerana pasukan kepimpinan Kerajaan Madani amat faham keperluan generasi berilmu pada masa hadapan dan tidak berkompromi terhadap peruntukan pendidikan biar pun dalam suasana pemulihan ekonomi.
Commenti