
Oleh: Akmal Manaf
Jumlah peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada enam negeri termiskin jauh lebih banyak berbanding negeri-negeri lain dan jumlah itu dikekalkan, kata Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli.
Menteri Ekonomi itu berkata, enam negeri yang merekodkan kadar kemiskinan paling tinggi itu adalah Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
''Cuma saya berharap, untuk menutup jurang ini, ia tidak hanya diserahkan kepada Kerajaan Persekutuan semata-mata.
''Ini tanggungjawab bersama yang juga perlu dipikul oleh Kerajaan Negeri masing-masing.
''Ia supaya apabila ada hubungan sebegini, barulah kita boleh menarik pelaburan dan perniagaan untuk masuk,'' katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) yang bertanya adakah pihak kementerian mengambil kira ketidaksamaan jurang sosioekonomi dalam memastikan perancangan projek Rancangan Malaysia Ke-13 di kalangan wilayah dan negeri terus wujud meskipun pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk mengurangkan jurang pembangunan kemajuan antara Wilayah Sabah, Timur dan Utara yang tidak sekata.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, jika semata-mata untuk menutup jurang itu adalah permohonan untuk mendapatkan peruntukan besar daripada Persekutuan, hal itu telah berlaku sejak 2021 dan diteruskan sehingga sekarang.
Namun katanya, tidak terdapat tanda-tanda bahawa jurang tersebut akan dapat ditutup dengan baik kerana kebanyakan negeri yang diberi peruntukan itu tidak menjana ekonomi negeri sebaik baiknya.
''Kecuali saranan saya, kerajaan-kerajaan negeri juga menyambut baik dan mempunyai kerangka ekonomi yang mesra perniagaan yang perlu diusahakan secara bersama,'' ujarnya lagi.
Comments