Kerajaan Madani dilihat beriltizam membangunkan sukan secara mampan dengan peningkatan peruntukan dalam Belanjawan 2025.
Menurut Exco Angatan Muda Keadilan Johor, Jalex Lee En Xiang, peningkatan tersebut adalah satu berita baik kepada atlet negara dan semua pihak yang terlibat dalam aktiviti sukan.
"Kita juga melihat bahawa peruntukan belanjawan sukan untuk tahun ini meningkat daripada RM 224 juta kepada RM 230 juta. Ini berita baik memandangkan tahun 2024 adalah tahun untuk Sukan Olimpik, sementara tiada acara sukan global utama pada tahun 2025.
"Ini jelas menunjukkan kerajaan komited untuk membangunkan sukan secara mampan, di mana dana sukan terus meningkat secara konsisten tanpa mengira adanya acara sukan besar," katanya dalam kenyataan.
Peruntukan yang besar untuk sukan itu juga, kata Jalex Lee, memberi isyarat kepada rakyat tentang kepentingan bersukan untuk menyihatkan tubuh badan.
"Ia (sukan) penting untuk kehidupan yang sihat, dan bukan itu sahaja, ia memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan masyarakat melalui amalan gaya hidup sihat.
"Sukan, yang kebanyakannya berpusat kepada golongan belia, benar-benar membantu mereka memberi fokus kepada perkara yang lebih bermakna serta mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat, secara tidak langsung akan membantu mereka lebih cemerlang dalam bidang masing-masing dengan menjadi individu yang lebih seimbang," katanya.
Jelas Jalex Lee yang juga Presiden Persatuan Amatur Gimnastik Johor, walaupun peningkatan peruntukan sukan mungkin dianggap agak kecil namun dalam keadaan negara yang baharu pulih ekonomi, ianya menunjukkan komitmen kerajaan dalam membangunkan sukan di negara ini secara mampan.
"Harap usaha dan peningkatan peruntukan akan terus meningkat pada masa hadapan," katanya lagi.
Comments