
Kerajaan sedang melihat bentuk perundangan di peringkat nasional bagi mengatasi masalah pencemaran sisa plastik.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kawalan dan penguatkuasaan perundangan sedia ada ketika ini hanya di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukan satu dasar yang menyeluruh.
Justeru di bawah Rancangan Malaysia ke-13, kerajaan merancang menggubal satu kerangka dasar dan perundangan yang menyeluruh agar sisa plastik dapat diurus dengan lebih lestari
"Sekarang kita banyak bergantung kepada undang-undang atau peraturan di peringkat PBT, itu sahaja tidak cukup.
"Sebab itu kita sedang melihat dalam RMK13 nanti sama ada kita boleh (laksanakan) atau tidak," katanya dipetik selepas merasmikan Kapal Pengumpulan Sisa Mobula 8, di Pelabuhan Klang pada Isnin.
Terdahulu, beliau mengalu-alukan sumbangan kapal pengumpul sisa plastik, Mobula 8 oleh The SeaCleaners iaitu badan bukan kerajaan (NGO) dari Switzerland kepada MRF sebagai inisiatif mengurangkan impak terhadap pencemaran plastik.
Sementara itu Nik Nazmi berkata masalah pencemaran plastik adalah serius dengan Malaysia menjadi antara lima negara dengan pencemaran plastik tertinggi di dunia.
Selain Malaysia, Indonesia dan Filipina mula berdepan dengan masalah kemasukan sisa plastik daripada luar, sejak China mengetatkan peraturan menghentikan pembelian hampir semua sisa plastik pada Januari 2018.
Sehubungan itu pihaknya bercadang membangkitkan isu berkaitan pencemaran sisa plastik untuk dibincangkan sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
Comments