meskip

Oleh: Akmal Manaf
Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia melonjak kepada 5.1% pada 2024, mengatasi unjuran awal Kerajaan sebanyak 4% menunjukkan dasar ekonomi madani telah berjaya dalam memulihkan ekonomi negara yang merosot sejak 2021 lalu.
Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, peningkatan pertumbuhan KDNK 2024 itu berlaku lebih kepada keyakinan pengguna berikutan perkembangan ekonomi yang memberansangkan.
''Isi rumah di Malaysia telah meningkatkan perbelanjaan, ini mungkin disebabkan oleh keyakinan yang lebih bahawa ekonomi kita sedang meningkat, dan mereka lebih berani berbelanja berbanding bulan sebelumnya,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah pertumbuhan KDNK disebabkan oleh faktor kemasukan banyak pelaburan langsung asing sejak kebelakangan ini berikutan pelbagai misi keluar negara disertai Perdana Menteri menarik pelaburan asing.
Mengulas lanjut mengenai faktor lonjakan KDNK negara, ahli akademik itu berpendapat meskipun jumlah pelaburan asing yang besar masih belum masuk secara fizikal namun berlaku peningkatan eksport khususnya berkaitan semikonduktor, minyak sawit dan petroleum dalam beberapa bulan kebelakangan.
Beliau berkata, nilai eksport yang meningkat menyebabkan perolehan dalam bentuk jualan eksport juga meningkat, sekali gus membantu melonjakkan ekonomi negara.
''Kalau dilihat, ekonomi Malaysia agak mendatar sejak 2022 dari segi bulan ke bulan. Peratusannya mendatar dalam lingkungan tiga hingga lima peratus, tidak ada kenaikan yang besar yang berlaku.
''Jadi sekarang ini, kita mencatat nilai KDNK melebihi RM430 bilion pada suku tahun yang keempat (2024) dan itu faktor peningkatan.
''Ia juga disebabkan peningkatan permintaan berkesan oleh kedua-dua pengguna isi rumah dan juga peningkatan penggunaan kerajaan,'' ujarnya lagi.
Selain pertumbuhan ekonomi, Kerajaan MADANI juga telah mengatasi sasaran defisit fiskal bagi tahun 2024 iaitu 4.1% berbanding sasaran awal 4.3%.
Bagi tahun 2025, Kerajaan MADANI mengunjurkan ekonomi akan berkembang antara 4.5% dan 5.5%, mengekalkan momentum dari tahun lalu.
Comments