Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua tahun 2024 yang diumum secara rasmi hari ini meningkat kepada 5.9% melepasi jangkaan awal sebelumnya, 5.8%.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, pertumbuhan ekonomi didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang baik, aktiviti pelaburan yang rancak dan peningkatan ketara dalam ketibaan pelancong.
Katanya, BNM berpandangan pertumbuhan Malaysia berada di landasan terbaik untuk mengakhiri tahun ini menghampiri julat unjuran tertinggi 4.0 - 5.0%.
"Pertumbuhan KDNK sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024 adalah yang tertinggi sejak suku keempat 2022," katanya dipetik Bernama pada sidang mengumumkan prestasi KDNK suku kedua 2024 pagi tadi.
Katanya, sektor perkhidmatan berkembang sebanyak 5.9% pada suku kedua 2024 berbanding 4.8% pada suku pertama 2024, disumbangkan oleh peningkatan menyeluruh dalam perkhidmatan berkaitan pengguna dan perniagaan.
"Sektor pembuatan meningkat 4.7% pada suku kedua 2024 selepas merekodkan pengembangan 1.9% pada suku sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan lebih tinggi merentas eksport dan industri berorientasikan domestik," ujarnya.
Sektor pertanian pula berkembang kepada 7.2% pada suku kedua 2024 berbanding 1.7% pada suku pertama 2024, disumbangkan oleh pengeluaran yang lebih kukuh dalam subsektor sawit dan perikanan.
Manakala sektor pembinaan mencatat pertumbuhan 17.3% (suku kedua 2024) berbanding 11.9% pada suku pertama 2024, disokong oleh lebih banyak aktiviti, khususnya dalam subsektor kejuruteraan awam dan perdagangan khusus.
Sektor perlombongan memperlihatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 2.7% selepas mencatat 5.7% pada suku pertama 2024, berikutan pertumbuhan yang lebih rendah dalam subsektor minyak dan gas akibat gangguan pengeluaran pada Mei.
Sebelum ini pada suku pertama, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2%, menjadikan pertumbuhan separuh pertama kepada purata 5.05%.
Comments