top of page

Pertumbuhan 5% cermin keyakinan perniagaan, rakyat kepada ekonomi



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertumbuhan yang menjangkau 5% pada sembilan bulan pertama tahun ini mencerminkan keyakinan perniagaan dan rakyat terhadap ekonomi Malaysia serta pengurusan ekonomi kerajaan.


Perdana Menteri (PM) berkata hasil pencapaian itu, kerajaan bertekad memperhebat pelaksanaan agenda reformasi bagi memperkukuhkan tatakelola baik dan melaksanakan pembaharuan ekonomi seperti digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.


"Meski dunia ini masih penuh marcapada dan ketidaktentuan, asas ekonomi Malaysia kian kukuh saban masa. Malaysia yang kini berada pada landasan kukuh serta berkemampuan untuk melabuhkan tirai tahun 2024 dengan kadar pertumbuhan memberangsangkan, apakala kita giat menggerakkan agenda reformasi ekonomi bagi meningkatkan tahap kerencaman dan martabat ekonomi Malaysia," kata Anwar dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, semalam.


Terdahulu Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia pada suku ketiga 2024 (S3 2024) berkembang sebanyak 5.3% (S2 2024: 5.9%) didorong permintaan domestik yang kekal berdaya tahan serta pemulihan berterusan prestasi sektor luar negeri.


Kadar pertumbuhan S3 2024 itu seiring dengan anggaran awal oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang dilaporkan baru-baru ini, kata Kementerian Kewangan.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tumpuan penuh kepada agenda reformasi dapat dilihat melalui Belanjawan 2025, apabila Kerajaan giat memperkukuh pengurusan fiskal melalui pengurangan defisit fiskal, peluasan asas hasil dan perbelanjaan berhemat melalui penyasaran subsidi petrol.


"Belanjawan 2025 mengimbangi antara keperluan tanggungjawab fiskal di samping terus melaksanakan belanjawan dan pelaburan awam yang mengembang, demi menyokong momentum pertumbuhan yang jitu bagi tahun mendatang.


Walaupun kedudukan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka telah mendedahkan negara ini kepada cabaran geopolitik serta ekonomi dunia yang penuh pergolakan, Anwar berkata "Kerajaan MADANI kekal optimistik akan unjuran ekonomi negara," katanya.


Beliau menekankan kerangka Ekonomi MADANI telah membina landasan jelas untuk Malaysia melonjakkan nilainya dalam rantaian bekalan dunia serta menjayakan keterjaminan dan kemampanan ekonomi.


"Kerajaan yakin bahawasanya terdapat peluang keemasan di kala zaman penuh keberantakan ini. Malaysia yang kian membangkit ini berpijak di atas landasan baik untuk memanfaatkan fenomena peralihan kepada strategi Plus One (kepelbagaian operasi ke negara-negara lain seperti di Asia Tenggara) yang kian meningkat.


"Ikhtiar kerajaan untuk mengukuhkan serta memperbaharui kerjasama-kerjasama bilateral dan multilateral, sambil mengekalkan kedudukan berkecuali, bakal membuahkan hasil melalui lonjakan perdagangan serta perluasan pasaran eksport," tambah Anwar.


Belanjawan 2025 yang memperuntukkan sebanyak RM421 bilion adalah bertujuan memacu reformasi fiskal dan ekonomi, mengutamakan pelaburan bermutu tinggi yang berupaya mencipta pekerjaan berpendapatan lebih tinggi serta menambah baik perkhidmatan dan prasarana awam untuk meningkatkan darjat hidup rakyat.


Anwar menjelaskan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 bilion juga ditambah dengan projek-projek inisiatif pembiayaan swasta (PFI) bernilai RM9 bilion serta pelaburan langsung domestik oleh syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) berjumlah RM25 bilion.


"Secara keseluruhan, pelaburan awam untuk pembangunan tahun 2025 adalah berjumlah RM120 bilion," ujarnya.


Dalam pada itu, kata PM peluncuran Pelan Induk Kerjasama Awam Swasta 2030 (PIKAS 2030) pada September lalu dijangka menjana pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak RM78 bilion selain mencipta 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.


Selebihnya, kerajaan telah mengambil pendekatan tegas dan beransur-ansur untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5% pada tahun 2023 kepada 4.3% tahun ini, sebelum menggiatkan lagi usaha kepada 3.8% pada 2025.


"Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam menjayakan kemampanan kewangan bagi jangka masa panjang. Kerajaan kekal berikhtiar untuk memastikan pelaksanaan langkah-langkah serta inisiatif-inisiatif pragmatik untuk mengukuhkan asas ekonomi negara," katanya lagi.

0 comments

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page