
Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Kajian pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Perak telah membuka lembaran baru dalam isu pengawalan jualan arak dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Namun pandangan berbeza diberikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming agar status quo atau dasar sedia dikekalkan berhubung isu penjualan arak melibatkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau berharap agar semua pihak supaya menghormati hak individu untuk membeli arak.
Keberanian MBI membawa Isu ini telah mendapat perhatian beberapa pentadbiran negeri di Malaysia seperti Negeri Sembilan apabila Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk menjual minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti yang didiami oleh penduduk beragama Islam.
Perbahasan polisi kesihatan
Isu ini sepatutnya dilihat sebagai sebuah perbahasan polisi kesihatan dan pembangunan ekonomi, cubaan mana-mana pihak mengheret isu ini kepada perbahasan politik akan mencemarkan usaha murni ke arah pengawalan penjualan arak. Secara dasarnya semua pihak (tanpa mengira latar belakang) bersetuju dengan dapatan kajian bahawa bahaya pengambilan alkohol mengakibatkan gangguan terhadap fungsi biologi sehingga mempengaruhi sistem saraf manusia.

Justeru usaha yang cuba dilakukan di Perak sememangnya boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan di Negeri Selangor, atas kesepakatan bahawa arak sememangnya membahayakan kesihatan maka penjualan arak di Negeri Selangor boleh dipertimbangkan untuk dikawal dan dikurangkan.
Polisi untuk mengawal dan mengurangkan penjualan arak ini tidak bermakna menghalang orang bukan Islam untuk meminum alkohol, namun jumlah penjualan alkohol di pasaran Selangor akan menjadi terhad di kawasan tertentu. MBI menggunakan formula pengawalan dan pengurangan jualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu, formula itu jika digunakan di Selangor maka hanya 3 daripada 9 daerah di Selangor yang akan dikuatkuasakan polisi tersebut.
Terdapat 3 daerah di Negeri Selangor yang mempunyai demografi penduduk Melayu-Islam melebihi 70% iaitu Kuala Langat (70.5%), Sabak Bernam (76.6%) dan Hulu Selangor (74.9%). Jika Kerajaan Madani Selangor ingin mencuba perlaksanaan polisi tersebut di 3 buah daerah terbabit, PBT di daerah terbabit pasti mendapat dokongan majoriti penduduk setempat.
Perlaksanaan polisi tersebut tetap menjamin hak orang bukan Islam untuk membeli dan meminum alkohol, namun jumlah minuman tersebut dalam pasaran di tiga daerah tersebut akan berkurang dan memaksa pengambilan minuman beralkohol menjadi kurang.
Mengawal pengambilan alkohol
Polisi ini seharusnya dipertimbangkan oleh Selangor kerana laporan oleh World Health Organization (WHO) menunjukkan bahawa negara-negara maju di dunia telah mula mengawal pengambilan alkohol dalam kalangan rakyatnya. Kebanyakan negara yang meningkat dalam pengambilan alkohol adalah dalam kalangan negara membangun, terutama di kawasan Asia Pasifik (India, Vietnam, Thailand).
Polisi untuk mengawal penjualan dan penggunaan alkohol oleh negara maju bukan sesuatu yang asing, negara-negara maju sedar berkenaan bahaya alkohol kepada rakyat dan kemajuan pembangunan negara mereka. Negara-negara membangun yang meningkat dalam pengambilan alkohol berhadapan dengan masalah kesihatan dalam kalangan rakyat yang kronik, akibatnya tenaga manusia mereka tidak dapat digunakan sepenuhnya dan kerajaan terpaksa menanggung kos perubatan rakyat yang semakin membebankan.
Seharusnya semua pihak mula berlapang dada dan mempertimbangkan polisi pengawalan dan pengurangan penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam, polisi ini tidak harus dilihat sebagai usaha mengurangkan hak masyarakat bukan Islam tetapi lebih kepada usaha untuk meningkatkan tahap kesihatan dengan mengurangkan pengambilan alkohol.
Cadangan perlaksanaan polisi tersebut di tiga daerah majoriti penduduk Melayu-Islam di Negeri Selangor tidak akan menjejaskan hak masyarakat bukan Islam yang tinggal di daerah lain. Jika polisi ini berjaya dilaksanakan di Negeri Selangor maka kesan berantai terhadap sosial dan ekonomi pasti akan kelihatan melalui peningkatan produktiviti dan kesihatan rakyat.
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments