Oleh: Abdullah Zaid
Langkah Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin mempertikaikan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang menolak mengosongkan 6 kerusi Ahli Parlimen parti Bersatu yang berpaling tadah tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada gabungan berkenaan.
Sebaliknya, bagi Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Perlis, Nor Amin Ahmad, adalah lebih baik pemimpin PN bersama sama kerajaan berusaha untuk memperbaiki kelompongan Akta Anti Lompat Parti (Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti) yang diluluskan secara bersama oleh mereka pada 2022 itu.
Katanya, sebelum ini akta tersebut telah diakui oleh Yang Dipertua Negeri (YDP) Sarawak, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang pada dua tahun lalu terlibat aktif dalam penggubalan undang undang tersebut sebagai mempunyai kelompongan dan disaran untuk diambil beberapa langkah mengatasi kelemahan tersebut.
"Semasa timbul isu ini pada awalnya, Tan Sri Dr Wan Junaidi (kini YDP Sarawak) selaku Menteri Parlimen dan Undang-Undang semasa Akta Anti-Lompat Parti digubal telah memberi komen balas tentang kelompangan dalam akta yang berpunca daripada, antaranya sikap kerajaan PN sendiri pada waktu itu.
"Apa yang perlu sekarang ialah untuk pembangkang dan kerajaan bersama sama melihat kembali dan memperkemaskan semula akta ini," katanya kepada Suara Keadilan.
Semalam, Muhyiddin Yassin mengkritik Speaker apabila mengesahkan status 6 Ahli Parlimen Bersatu tidak digugurkan sebagai ahli Dewan Rakyat.
Manakala pemerhati politik pula berkata, alasan Speaker untuk tidak mengosongkan kerusi 6 Ahli Parlimen berpunca daripada keengganan pemimpin Bersatu menerima selengkapnya syor dalam Rang Undang Undang Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti pada 2022 lalu.
Sekiranya draf asal tidak digugurkan beberapa perkara maka status enam Ahli Parlimen Bersatu sudah terjawab, selain draf asal itu telah mengambil kira pengalaman masalah sedemikian di United Kingdom, India dan New Zealand.
Menurut mereka, kelompangan akta tersebut boleh diatasi melalui pindaan perlembagaan parti masing-masing namun perkara itu masih boleh dicabar di mahkamah.
Oleh itu, menurut mereka satu pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu dilakukan bagi mengatasi kelompangan pada Akta Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti pada masa hadapan.
Comments