
Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) mengkritik kenyataan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli yang menyatakan bahawa sekolah vernakular menggalakkan persaingan sihat antara semua aliran sekolah. Ketua Penerangan Perkasa, Irwan Fahmi Ideris beranggapan bahawa sekolah vernakular menjadi penyebab utama segelintir rakyat Malaysia tidak fasih menggunakan Bahasa Kebangsaan walaupun lahir di negara ini.
Malah Perkasa tegas membantah peruntukan untuk sekolah vernakular yang ditambah setiap tahun oleh kerajaan kerana sekolah vernakular memecahkan perpaduan kaum di negara ini. Justeru Perkasa mendesak sistem sekolah satu aliran dilaksanakan demi menjaga kepentingan Bahasa Kebangsaan serta memperkukuh Perpaduan Nasional.
Tindakan Perkasa mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular amat tidak wajar kerana ia secara tidak langsung turut mempersoalkan Perlembagaan Persekutuan. Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan. Selagi Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf kewujudan sekolah vernakular, seharusnya isu sekolah satu aliran tidak harus dibangkitkan bagi menghormati undang-undang tertinggi negara.
Persaingan prestasi akademik positif
Kenyataan Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli bahawa sekolah vernakular menggalakkan persaingan sihat perlu dilihat menggunakan kaca mata yang positif, kenyataan tersebut dibuat berlandaskan persaingan prestasi akademik antara sekolah pelbagai aliran yang wujud di Malaysia.

Kepelbagaian aliran sekolah yang ada ini memberi pilihan kepada ibu bapa untuk memilih aliran sekolah yang sesuai dan terbaik untuk perkembagan anak masing-masing. Walaupun wujud perbezaan aliran namun akhirnya setiap aliran sekolah ini mengikuti silibus pembelajaran yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek mengesahkan bahawa kesemua sekolah pelbagai aliran ini akhirnya tetap dikawal oleh aspirasi Kerajaan Madani untuk mengutamakan Bahasa Kebangsaan di samping memperkukuh Bahasa Inggeris.
Tuduhan bahawa sekolah vernakular memecahkan perpaduan kaum turut ditolak oleh Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang yang menyatakan bahawa platform tersebut menjadi tarikan ke arah perpaduan dan bukan sebaliknya. Peningkatan berterusan dapat dilihat sejak 2018 hingga 2023 melibatkan pendaftaran pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pelajar bukan India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).
Keadaan ini membuktikan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan semua pihak. Kajian oleh Kementerian Perpaduan pada tahun 2023 mendapati bahawa peranan sekolah vernakular sebagai medan mengurus kerukunan sosial adalah sama seperti peranan sekolah kebangsaan.
Peruntukan diberikan secara saksama
Kritikan terakhir Perkasa bahawa peruntukan untuk sekolah vernakular yang ditambah setiap tahun sehingga menjejaskan sekolah kebangsaan yang daif terutama di pedalaman dan luar bandar juga tersasar daripada hakikat sebenar. Hakikatnya peruntukkan untuk sesebuah sekolah dibuat berdasarkan jumlah murid yang belajar di sekolah berkenaan, data menunjukkan sehingga tahun 2024 hanya wujud lingkungan 1,800 sekolah vernakular daripada 10,066 jumlah sekolah yang wujud di seluruh negara.
Data juga menunjukkan bahawa hanya lingkungan 500,000 pelajar yang bersekolah di sekolah vernakular daripada lingkungan 5 juta pelajar yang mendaftar persekolahan pada tahun 2024. Berdasarkan data tersebut dapat dilihat bahawa peruntukkan terbesar yang disalurkan oleh kerajaan adalah kepada sekolah kebangsaan. Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menyatakan bahawa tampungan terbesar dana sekolah vernakular datang daripada amalan derma awam dan sokongan masyarakat. Kesemua data ini tidak boleh diputarbelikan kerana ia di bawah pemantauan KPM.
Seharusnya kritikan terhadap sekolah vernakular ini tidak dipolitikkan sehingga mempersoalkan peruntukkan yang wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan, jika kewujudan sekolah vernakular mula dipersoalkan ini akan membuka ruang untuk mempersoalkan kewujudan 13 aliran sekolah lain yang wujud di Malaysia.
Salah satu daripada 13 aliran sekolah tersebut adalah sekolah agama Islam (pondok, madrasah dan tahfiz), segelintir kecil sekolah dalam aliran sekolah tersebut juga diusahakan secara persendirian oleh sesetengah aktivis politik dan menjadi sarang pembiakan ideologi politik yang ekstrim.
Jika satu hari nanti kewujudan sekolah aliran agama Islam mula dipersoalkan demi untuk mewujudkan sistem sekolah satu aliran, adakah idea tersebut akan tetap disokong oleh Perkasa dengan menghapuskan kesemua 13 aliran sekolah yang pelbagai di Malaysia?
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor
Comments