Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura, Seah Kian Peng pada Isnin.
Pertemuan itu sempena lawatan rasmi Johari yang juga Presiden Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) untuk mengukuhkan hubungan dan membincangkan kerjasama strategik antara institusi parlimen di rantau ini.
Kedua-dua pemimpin telah membincangkan beberapa isu, dengan bidang utama memberi tumpuan kepada kerjasama pertukaran pengetahuan, khususnya mengenai isu-isu keterjaminan makanan, tenaga boleh diperbaharui, dan inovasi digital.
"Kami menekankan kepentingan kerjasama pertukaran pengetahuan dan kepakaran dalam bidang keterjaminan makanan, perubahan iklim dan inovasi digital.
"Turut dibincangkan adalah peranan badan perundangan, seperti parlimen, dalam menyokong kerajaan dalam mengukuhkan hubungan dua hala, serta meningkatkan pertukaran hubungan rakyat dengan rakyat dalam ASEAN untuk mengukuhkan blok itu.
"Saya amat yakin, melalui kerjasama strategik dan menyeluruh di seluruh peringkat, cabaran global yang semakin mencabar dapat ditangani demi membina ASEAN yang lebih kukuh dan berdaya tahan," kata Johari dipetik sambil menyifatkan pertemuan itu mencerminkan komitmen untuk memperkukuh hubungan diplomasi parlimen antara Malaysia dan Singapura.
Sementara itu Johari berkata, pada pertemuan itu beliau telah secara rasmi menjemput Seah ke Perhimpunan Agung AIPA ke-46 di Kuala Lumpur pada September.
"Agenda AIPA tahun ini akan melengkapkan tema Pengerusi Malaysia iaitu "Keterangkuman dan Kelestarian."
"Pada tahun ini, Malaysia juga akan menjadi tuan rumah mesyuarat AIPA yang lain, termasuk Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Ahli Parlimen Wanita AIPA Kali Ke-4 di Sarawak, Mesyuarat Perundingan Ke-2 Ahli Parlimen Muda AIPA di Selangor, dan Mesyuarat Ke-8 Majlis Penasihat AIPA mengenai Berbahaya. Dadah di Melaka," katanya.
Comments