Pertemuan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PM Singapura, Lawrence Wong Shyun Tsai semalam usai hari pertama Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45 di Vientiane, Laos telah berjaya menyelesaikan beberapa isu tertunggak dalam hubungan kedua dua negara.
Biar pun pertemuan tersebut ringkas, menurut Anwar, hasilnya telah berjaya mencapai persetujuan tertentu yang bakal memudahkan perbincangan lanjut pada masa hadapan.
"Selama hampir 40 minit saya dan PM Lawrence berbincang beberapa perkara terkait kepentingan kedua-dua negara, terutama meneroka kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berbangkit secara berkesan dan sepantas mungkin," katanya dalam catatan di Facebook.
Tambah Anwar, pertemuan itu juga kemudiannya disekalikan dengan mesyuarat dua hala membincangkan isu semasa yang perlu ditangani.
"Saya dan PM Lawrence kemudian langsung mengetuai mesyuarat dua hala bersama menteri-menteri dan delegasi kedua-dua negara.
"Alhamdulillah, pertemuan ini mencapai beberapa kesepakatan dan kemajuan terkait beberapa isu tertunggak, yang insya-Allah akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam sesi permukiman tahunan Malaysia-Singapura hujung tahun ini," katanya lagi.
PM dan gelegasi akan berada di Laos sehingga Jumaat bagi menghadiri persidangan ASEAN Ke-44 dan Ke-45 serta beberapa mesyuarat lain bersama negara anggota ASEAN.
Hal itu termasuklah usaha pembinaan komuniti ASEAN dan Wawasan Komuniti ASEAN 2045, keamanan serta kestabilan serantau, integrasi ekonomi serantau, ekonomi hijau, teknologi baharu, peralihan tenaga, keselamatan makanan dan hubungan ASEAN dengan rakan kongsinya.
Sewaktu Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.
Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025.
*Kredit foto: Amir Haziq/PMO
Comentarios