![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_4bf58299f3794b7885b8da76d8ddb5ab~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_466,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_4bf58299f3794b7885b8da76d8ddb5ab~mv2.jpg)
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dijangka membincangkan usaha pemulihan dan pembangunan semula Gaza pada pertemuan susulan lawatan ke Malaysia minggu depan.
Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, kedua-dua figura itu merupakan pemimpin lantang menyuarakan pandangan mengenai penindasan rakyat Palestin.
"Sekarang Perdana Menteri dilihat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai suara yang tegas di pentas antarabangsa, apatah lagi mewakili dunia Islam.
"Saya percaya pertemuan antara kedua-dua pemimpin (Anwar dan Erdogan) utama dan besar ini yang juga sahabat lama, tentunya akan memberi impak yang sangat signifikan terhadap ikhtiar masyarakat antarabangsa bagi mencari jalan untuk menjayakan pembangunan semula Gaza
"Ini waktu yang sangat penting setelah Presiden Amerika Syarikat (AS) (Donald Trump) mengumumkan pelan (mengambil alih Semenanjung Gaza) yang pada saya langsung tidak masuk akal," katanya dipetik.
Terdahulu Shamsul mewakili Perdana Menteri untuk menyempurnakan perasmian Majlis Peluncuran Skim Rumah Ibu di Ipoh pada Jumaat.
Trump pada Selasa membuat kenyataan angkuh apabila berkata, AS 'akan mengambil alih' Semenanjung Gaza selepas menempatkan semula rakyat Palestin di tempat lain di bawah pelan pembangunan semula yang didakwa boleh mengubah enklaf itu menjadi the Riviera of the Middle East.
Cadangan itu bagaimanapun mengundang penolakan antarabangsa termasuk Malaysia,Turki serta negara-negara Barat.
Malah China dengan lantang menyelar cadangan itu sambil menegaskan, Beijing sentiasa percaya yang 'rakyat Palestin mentadbir Palestin' adalah prinsip asas bagi pentadbiran selepas perang di Gaza.
Comments