Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Republik Indonesia (RI) Prabowo Subianto yang dijadualkan berlangsung di Pulau Langkawi, Kedah pada hari ini terpaksa ditangguhkan kerana pemimpin Indonesia itu menyatakan beliau tidak sihat.
Anwar berkata beliau dan keluarganya telah berada di Pulau Langkawi untuk pertemuan tersebut namun Prabowo pada malam tadi memohon ia ditangguhkan selama beberapa hari kerana beliau demam.
"Saya dan keluarga sudah (berada) di Pulau Langkawi bagi menerima kunjungan sahabat, Presiden Prabowo Subianto hari ini (Isnin).
"Namun, malam tadi beliau mohon menangguhkan pertemuan untuk beberapa hari kerana demam. Mendoakan agar Presiden Prabowo diberi kesembuhan secepat mungkin sekali gus menyambung rencana pertemuan dua negara," katanya dalam hantaran di Facebook.
Media Indonesia sebelum ini melaporkan Probowo menyatakan beliau akan bertemu Anwar selepas lawatan rasmi dan menghadiri Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun dalam Kerjasama Ekonomi (D8) di Kaherah, Mesir yang berlangsung dari 17 hingga 19 Disember lalu.
Perdana Menteri turut memaklumkan beliau akan mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra di Langkawi pada 26 Disember ini untuk membincangkan mengenai agenda ASEAN.
Pada Sabtu lalu, Anwar dalam sidang media khas memaklumkan bahawa beliau dijadual bertemu dengan Prabowo dan Thaksin untuk membincangkan isu-isu strategik serantau serta perkembangan ASEAN.
Dalam lawatan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra ke Malaysia pada Ahad minggu lepas, Anwar mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi untuk membantu Malaysia ketika menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025.
Comments