Pertandingan sukan kurangkan 'ketagihan' anak muda kepada media sosial
- Suara Keadilan
- Feb 16
- 1 min read

Anak muda dan media sosial merupakan sesuatu yang tidak boleh dipisahkan. Kadang kala aktiviti melayari media sosial menyebabkan anak muda 'ketagihan' sehingga mereka menjadi anti sosial atau tidak bergaul dengan masyarakat setempat.
Menyedari hal itu, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Rumah Murah Bukit Kuang, Kemaman, Terengganu baru baru ini menganjurkan Kejohanan Futsal Santai Tertutup yang berlangsung di padang futsal Rumah Murah Bukit Kuang bagi menarik anak muda kepada aktiviti yang lebih bermanfaat.
Menurut pengerusi JPKKP Rumah Murah Bukit Kuang, Kamaruzaman Awang, penganjuran pertandingan futsal itu sekali gus dapat mengurangkan pengaruh media sosial serta penggunaan internet secara yang tidak sihat.
"Aktiviti ini boleh mengeratkan hubungan sesama warga penduduk sekitar kawasan Rumah Murah Bukit Kuang.
"Namun pertandingan seperti ini sudah lama tidak diadakan kerana fasiliti sukan tidak dapat dimanfaatkan kerana tidak ditadbir dengan baik," katanya.
Sehubungan itu, Kamaruzaman mencadangkan agar pihak Kementerian Belia dan Sukan melihat semula keberkesanan pentadbiran dan pengurusan aktiviti sukan terutama di negeri-negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
Katanya, pihak Kerajaan Negeri Terengganu tidak menyediakan bajet secukupnya untuk menyelenggara kemudahan sukan mengakibatkan penganjuran kejohanan sukan di peringkat kampung dan komuniti tidak dapat dilaksanakan dengan baik.
Dalam kejohanan itu, katanya, lebih 10 pasukan terdiri daripada pelajar sekolah menengah telah mengambil bahagian dan pihak penganjur bercadang untuk meneruskannya andai mempunyai peruntukan.
Comments