
Malaysia bertuah apabila syarikat pereka bentuk cip terbesar dunia Arm Holdings Plc bersetuju bekerjasama dengan kerajaan negara ini untuk mengembangkan reka bentuk cip menggunakan kemahiran rakyat tempatan.
Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, hal yang belum pernah terjadi di mana mana negara di dunia itu bermula pada Sidang KL20 yang pertama tahun lalu, apabila Pengerusi Arm Taiwan, CK Tseng hadir dalam persidangan tersebut sebagai panelis.
Pada hujung sidang itu, ujar Rafizi, kerajaan Malaysia dan Arm sepakat bahawa perlu dilakukan kerjasama yang lebih mendalam dan substantif bersama syarikat terbabit, selari dengan visi teknologi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerjasama itu berfokus kepada pemindahan ekosistem semikonduktor negara daripada OSAT kepada IP, membangunkan teknologi asli dan membolehkan Malaysia meneroka bidang AI, robotik, kenderaan autonomi, serta Internet of Things.
"Selepas berbulan-bulan rundingan antara Kerajaan Malaysia dan Arm, kita telah menghasilkan satu model kerjasama yang memberi keutamaan kepada keseluruhan ekosistem.
"Ini bukan sesuatu yang bersifat sementara atau bergantung kepada tenaga kerja murah. Ia bukan sekadar mengejar atau menaik taraf teknologi, tetapi satu lonjakan teknologi yang sebenar," katanya mengulas pengumuman kerjasama ekosistem komprehensif bersama Arm yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam.
Melalui kerjasama itu, tambah Rafizi, 10,000 bakat tempatan akan dilatih dalam reka bentuk IC termaju, memastikan aliran tenaga mahir Malaysia yang kukuh.
Akses kepada Compute Subsystem (CSS) Arm, satu perubahan besar yang akan membolehkan syarikat Malaysia mereka bentuk cip untuk teknologi canggih.
Juga pemindahan dan pemerkasaan teknologi yang memastikan firma asing maju bekerjasama dengan pemain tempatan untuk memperkasa industri dalam negara dengan cara yang bermakna.
"Sudah tentu, akan ada pihak yang skeptikal dan bertanya, mengapa pereka bentuk seni bina cip terbesar di dunia memilih Malaysia? Sememangnya, ini adalah kali pertama Arm bekerjasama dengan sebuah negara dalam bentuk perjanjian seperti ini.
"Apabila meneroka sesuatu yang belum pernah dilakukan, kejayaan bergantung pada masa yang tepat, tempat yang tepat, dan individu yang tepat bekerjasama.
"Jika ada satu perkara yang boleh kita pelajari daripada kerjasama ini, ia adalah bukti keupayaan Malaysia," katanya.
Dengan kejasama itu, kata Rafizi, rakyat negara ini seharusnya mempercayai kebolehan dan aspirasi sendiri bahawa Malaysia sudah bersedia untuk menempuh cabaran menjadi antara negara peneraju dunia dalam industri cip.
Comments