top of page

Pertahankan Maruah Negara: Semangat Patriotik Kemerdekaan



Oleh: Syed Ibrahim Syed Noh


Kita baru sahaja menyambut Hari Kemerdekaan ke-63 dan akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September nanti. Kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini tatkala umum faham bahawa bahaya pandemik Covid-19 belum reda.


Namun begitu, semangat patriotisme tetap ditekankan malah lebih wajar diwar-warkan terutama dalam keadaan peperangan mengatasi wabak secara sepadu lagi bersama.


Menjadi naratif lazim di mana-mana untuk “kita jaga kita” malah tidak ada kumpulan yang menentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan dalam memecahkan rantaian wabak.


Kerajaan mahu pun pembangkang menyokong penuh dua rang undang-undang yang berkait pandemik Covid-19 baru-baru ini meskipun dipertikai kelewatan dalam pembentangannya.


Soal yang kerap ditanya ialah apakah kefahaman masyarakat terhadap patriotisme atau patriotik? Apakah ia terkait kepada tindakan simbolik, seperti mengibarkan jalur gemilang, menyanyi lagu kebangsaan, menyertai perhimpunan beramai-ramai, meletakkan pelekat patriotik pada kenderaan, memakai pakaian bercirikan jalur gemilang atau apa-apa cara sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada negara di peringkat umum?


Atau lebih mendalam lagi, apakah maksud patriotisme ialah suatu kefahaman dan sikap yang menggambarkan perasaan cinta terhadap tanah air sehingga rela dan berani berkorban demi kepentingan bangsa dan negara? Apakah ia termasuk mempertahankan maruah dan nama baik negara serta mencegah apa jua perbuatan yang boleh menjejas atau merosakkan nama baik itu?


Maksud sebenar patriotisme


Inilah maksud sebenar patriotisme dan diterjemahkan melalui tindakan simbolik serta perbuatan. Dengan kata lain, semangat berkenaan dicorakkan dengan ciri-ciri yang mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, bukan kepentingan kelompok dan peribadi semata-mata. Ini jelas dapat dilihat dalam diri petugas barisan hadapan yang tidak kenal erti penat dan rela berkorban.


Dalam hal ini, saya menyambut baik saranan Perdana Menteri supaya menyemarakkan semangat patriotisme dan keharmonian yang dikecapi selama ini, sekaligus memartabatkan agenda untuk membina negara. Memang benar slogan “Malaysia Prihatin” amat sesuai dalam keadaan sekarang terutama untuk memerangi wabak Covid-19 di samping memupuk perpaduan, kebersamaan dan keharmonian.


Namun, saya percaya sikap tersebut perlu dibuktikan dan tidak retorik semata-mata. Biarlah konsisten sama ada sebagai pembangkang atau pemerintah dan tidak diubahsuai mengikut selera politik.


Miliki jiwa merdeka, bukan menjajah, khianat


Di samping sikap cintakan negara atas dasar keharmonian, saya sarankan supaya rakyat memiliki jiwa yang merdeka, amanah dan bertanggungjawab, bukan jiwa yang menjajah, khianat dan bersembunyi atas kuasa serta kedudukan.


Juga memupuk semangat islah atau pembaharuan kepada sistem, dasar dan urusan negara; bukan citra pemikiran sempit, kuno lagi menjatuhkan di samping berpegang teguh kepada prinsip keadilan, kebebasan dan hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan serta mengamalkannya secara konsisten, bukan mengabaikannya atau mengamalkannya secara terpilih.


Dalam konteks ini, sikap dan ciri-ciri ini sebenarnya sentiasa tercabar. Mengapa? Kerana wujudnya nafsu, kepentingan politik peribadi, kepentingan kuasa dan kebendaan serta kepentingan sempit agama atau perkauman.


Saya percaya, rakyat pada umumnya tidak terlalu melampau dalam fahaman agama dan perkauman. Yang sering mengelirukan atau membesar-besarkannya ialah golongan ahli politik kerana agenda bermotifkan politik.


Buktinya, ke mana perginya hiruk pikuk pelaksanaan RUU 355? Ke mana perginya suara pertahan tulisan jawi? Ke mana hilangnya suara bimbang terhakisnya hak dan Ketuanan Melayu? Tenggelam suara-suara itu dek perolehan kuasa.


Abaikan fahaman agama, perkauman sempit


Apa penyelesaiannya? Pada pendapat saya, oleh kerana ia berunsur politik semata tanpa asas, maka lebih baiklah diabaikan sahaja dan tumpu kepada perkara yang lebih berasas seperti meneliti pendekatan memperkasakan mahkamah syariah dalam konteks keadilan dan keberkesanan pelaksanaannya.


Juga mengambil sudut pendidikan dan budaya kepada penulisan jawi tanpa perlu mempolitikkannya serta membangkitkan dasar ekonomi bumiputera yang membela nasib orang Melayu tanpa mengenepikan hak kaum yang lain atas asas keadilan dan kesaksamaan, bukan atas asas kaum semata-mata.


Rangka dan laksanakan dasar yang benar-benar boleh merapatkan jurang atau kesenjangan ekonomi antara kaum dan wilayah di mana kemakmuran dan kesejahteraan dapat dinikmati oleh rakyat dengan adil lagi saksama. Ini tidak boleh hanya atas kertas dengan jumlah inisiatif tertentu tetapi wajar didokongi oleh pemimpin di setiap peringkat sehingga angka B40 dan T20 berkurangan.


Soal persepsi agama Islam yang sempit juga wajar ditangani dengan tuntas. Akibat tindakan dan pandangan yang dikeluarkan oleh segelintir pemimpin Pas terutamanya maka amat malang apabila Islam dilihat dari kaca mata yang sempit di mana hanya pendapat ulama dan pemimpin Pas sahaja yang betul, sedangkan yang sewajarnya berlaku ialah rakyat kembali menghidupkan rasa kemanusiaan dan mengangkat darjat kemanusiaan itu sebagaimana firman Allah dalam ayat 70 surah Al-Isra’. Tambahan pula, sifat kesejagatan Islam menolak perkauman seperti firman Allah dalam ayat 13 surah Al-Hujurat.


Ini bukan sahaja boleh menjawab ciri perkauman dalam kalangan orang Melayu tetapi juga yang wujud di kalangan orang Cina, India dan kumpulan etnik lain. Yang dibenci bukan kaum tetapi tindakan kezaliman, penyelewengan dan penindasan atas nafsu rakus peribadi dan kelompok.


Berdosa rompak, rasuah


Ini termasuklah meletakkan neraca penilaian yang betul terhadap kesalahan yang dilakukan dalam Islam. Sebagaimana Islam menjatuhkan hukuman berdosa dalam kegiatan jenayah merompak, membunuh dan mencuri, maka amalan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan wang serta kedudukan juga dianggap berdosa. Bersekongkol dan bersubahat dengan amalan serta mereka yang terlibat juga boleh jatuh hukum berdosa.


Jadi janganlah berlindung di sebalik alasan kononnya amalan rasuah atau penyelewengan itu boleh disucikan apabila habuan daripadanya disedekahkan kepada anak yatim, masjid dan bakal haji seperti yang disebutkan dalam kes skandal 1MDB. Salah tetap salah dan pelakunya wajar menerima hukuman apabila didapati bersalah. Matlamat tidak menghalalkan cara.


Akhirnya, dalam kita menyambut kemerdekaan, “Malaysia Prihatin” wajar dizahirkan bukan sahaja dengan semangat patriotisme dalam usaha memerangi wabak Covid-19 secara bersama tetapi juga mengangkat kembali imej negara sebagai negara makmur yang inklusif, progresif, rahmah, berpolitik matang, bersih dan berpaksikan rakyat yang menolak pengkhianatan, rasuah dan penyelewengan.


__________________________________________________________________________________


Penulis merupakan Ahli Parlimen Ledang dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page