Pertahan warisan Kuala Lumpur, pembangunan untuk rakyat terbanyak - PM
- Suara Keadilan
- 14 minutes ago
- 2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu warisan sejarah, budaya dan warisan Kuala Lumpur terus dipertahankan ketika ibu kota itu dibangunkan dengan bangunan pencakar langit beridentiti moden dan berteknologi tinggi.
Perdana Menteri berkata melalui projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI, pembangunan yang bakal dilaksanakan nanti perlu mengambil kira keperluan dan keselesaan majoriti rakyat.
"Kita fikirkan gedung besar dan rakyat bangga, tetapi apakah kemudahan kepada rakyat. Dia melancong dan melihat tingginya (bangunan) tetapi restoran kecil, warung, gerai, perumahan, tempat permainan anak serta perpustakaan, gedung sejarah yang boleh dikaji dan digali itu hampir tidak ada.
"Jadi, sebab itu, perancangan kita mesti secara langsung memusatkan kepada keperluan negara moden tetapi tidak boleh meminggirkan rakyat," katanya dipetik ketika berucap melancarkan projek itu di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.
Dua tahun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan pernah mencadangkan inisiatif membugar pembangunan Kuala Lumpur dengan menitikberatkan identiti warisan dan kepelbagaian Malaysia.
"Satu kota itu harus hidup segar dengan fizikal yang menarik dan menawan, sesuai dengan perkembangan teknologi, tetapi ia juga harus mengakar kepada tradisi dan budaya.
"Memang kita tidak akan maju kalau kita tidak menggapai langit, teknologi baharu digital, kecerdasan buatan (AI), bicara mengenai transisi tenaga harus dan wajib kita segerakan tetapi menggapai langit itu harus mengakar ke bumi, ertinya faham sejarah, budaya dan nilai akhlak," kata Anwar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu pembangunan di bawah projek Warisan KL tersebut dipercepatkan dengan kerangka pembangunan yang memberikan kemudahan kepada rakyat terbanyak dan tidak tertumpu kepada kumpulan elit.
Kata beliau jawatankuasa Warisan KL yang dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Dr Zaliha menjadi fokus nasional, dengan pembabitan besar Khazanah dengan pelaburan RM700 juta.
"Saya tekankan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya tidak boleh terima projek megah, gedung besar dan perkasa... tetapi saya mahu gedung kecil, gerai dan warung yang bersih, indah tetapi mematuhi syarat ketat, yang memuliakan 80 peratus rakyat," katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut Warisan KL merupakan kesinambungan daripada pelan induk Kuala Lumpur Creative and Cultural District 2019 yang bertujuan mengukuhkan industri kreatif dan budaya sebagai teras utama ekonomi bandar.
Ia meliputi kawasan seluas 1.08 kilometer persegi dari pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak serta laluan pengangkutan awam.
Zon kedua pula melibatkan kawasan 8.9km persegi membabitkan Tugu Negara, Muzium Negara, KL Sentral, Stadium Negara dan Bukit Nanas.
Comments