Semua pihak yang inginkan Malaysia kekal makmur dengan kepelbagaian diingatkan agar berusaha mempertahankan Kerajaan Perpaduan.
Mantan Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Jestin Raj Savarimuthu berkata, Kerajaan Perpaduan merupakan satu satunya wadah pelbagai kaum yang stabil tetapi membenarkan perbezaan pendapat demi meraikan semua pihak dalam satu gabungan yang utuh.
Namun kata beliau, terdapat pula segelintir individu dan organisasi yang kini semakin hilang pengaruh cuba menonjolkan diri dengan cara yang salah dan tidak membina.
"Lebih mendukacitakan, mereka menggunakan sindiran dan perli, secara langsung atau tidak langsung, dalam usaha untuk menarik perhatian.
"Namun, kita semua harus sedar bahawa sindiran ini tidak wajar menjadi kayu pengukur terhadap usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan, terutamanya di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya ingin mengingatkan bahawa "benang yang basah tidak boleh ditengakkan". Keadaan yang berlaku sekarang ini tidak seharusnya dimanfaatkan oleh segelintir pihak untuk menjadi semborono dalam mengeluarkan kenyataan yang tidak wajar.
"Kenyataan yang tidak berasas hanya akan mengeruhkan lagi keadaan dan merosakkan hubungan sesama kita," katanya dalam satu kenyataan.
Jestin Raj turut menegur pihak pihak yang mengelar diri mereka sebagai wakil komuniti India dan menyuarakan hasrat bagi pihak komuniti terbabit.
Katanya, tidak semestinya pihak yang lantang bersuara itu faham apa keperluan sebenar masyarakat India di bawah.
"Tidak semestinya jika anda begitu lantang mengeluarkan suara (anda faham keperluan). Namun gagal untuk memahami bahawa negara kita kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran.
"Ketegasan dalam bersuara tidak semestinya bererti kebenaran berada di pihak mereka. Apa yang lebih penting adalah kita semua harus bersatu padu dan bekerjasama untuk memakmurkan negara," ujarnya.
Sehubungan itu, Jestin Raj memohon semua pihak agar menghormati usaha dan kesepakatan yang telah terjalin dalam Kerajaan Perpaduan.
"Janganlah kita menjadi duri dalam daging mahupun gunting dalam lipatan yang hanya akan merosakkan keharmonian dan kemajuan negara.
"Kita perlu bersama-sama menjayakan visi dan misi kerajaan demi masa depan yang lebih cerah untuk Malaysia," katanya lagi.
Comments