top of page

Persijilan halal: Kelantan jangan sukarkan pengusaha makanan kecil kecilan



Tindakan kerajaan Pas Kelantan mewajibkan peniaga makanan mengepilkan sijil halal untuk pembaharuan lesen perniagaan dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Kota Bahru amat membebankan, terutamanya kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang berbilang kaum.


Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia, Lee Chean Chung, sama ada pengusaha makanan Melayu-Islam atau bukan, mereka akan terbeban dengan syarat berkenaan yang meningkatkan kos perniagaan kerana pengusaha perlu memperuntukkan kos lebihan sedangkan jumlah pelanggan atau cawangan perniagaan mereka kecil.


"Contohnya, kedai tunggal, gerai dan warung Melayu di tepi jalan bakal terpaksa menanggung purata kos persijilan yang lebih tinggi kerana mereka mempunyai jumlah pelanggan yang sedikit.


"Sama dengan cafe moden (yang menjual pastri, kek dan kapucino) tunggal yang diusahakan oleh warga Kelantan kerana mereka perlu bersaing dengan rantaian cafe gergasi (yang punya sijil halal) yang mempunyai ratusan cawangan di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.


Kata Chean Chung, natijah syarat berkenaan juga menekan perusahaan bukan Islam yang mempunyai pelanggan pelbagai kaum. Misalannya, kopitiam tradisi yang diusahakan oleh bangsa Tionghua biasanya akan mengambil komisyen menjual makanan bungkus seperti nasi lemak, nasi dagang dan nasi berani daripada pengusaha Melayu.


Lazimnya kebanyakan umat Islam yang menyediakan makanan dari rumah atau secara kecil-kecilan tidak mempunyai persijilan halal. Kopitiam sebegini perlu memastikan kesemua sumber bahan makanan mereka diiktiraf halal bagi menjamin persijilan halal tidak terjejas.


"Kesan sampingannya amat dashyat - sama ada kopitiam ini tutup kedai, ataupun pengusaha-pengusaha kecil tidak lagi menjadi pembekal kepada kopitiam tersebut dan akan tutup perniagaan.


"Kebanyakan pengusaha ini menggaji pekerja Melayu, pembekal makanan bungkus juga Melayu, dan ada pelanggan yang juga merupakan Melayu.


"Amalan ini telah berlangsung selama berpuluh-puluh tahun dan merupakan satu persijilan “halal tidak rasmi” yang berasaskan kepercayaan rakyat berbilang kaum selama ini. Memang ada pengusaha yang memohon persijilan halal tetapi ada yang kekal dengan cara muafakat itu atas sebab yang tertera sebelum ini," katanya.


Justeru, Ahli Parlimen Petaling Jaya itu beranggapan Exco Kelantan yang mengeluarkan arahan tersebut mungkin jarang turun padang sehingga tidak memahami keadaan sebenar yang dialami rakyat biasa.


Katanya, bagi mengelakkan rakyat kecil menjadi mangsa maka banyak negeri lain tidak mengenakan syarat persijilan halal sebagaimana di Kelantan itu.


"Sewajarnya kita berfikir mengapa Selangor, Johor, Pahang, Perak, Melaka, Sabah dan Sarawak tidak berbuat demikian lebih awal sekiranya ianya betul-betul mencetuskan pembangunan industri halal Malaysia disamping menyokong PKS-PKS?


"Saya menghormati kerajaan Pas Kelantan yang bercita-cita merancakkan industri halal di negeri tersebut, tetapi harus berwaspada bahawa pendekatan yang silap langkah akan membawa kepada kesan yang lebih parah kepada rakyat dan ekonomi negeri. Oleh itu biar lambat, asal selamat," katanya lagi.


Sebelum ini, media tempatan melaporkan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan, dan Hubungan Seranta Kelantan, Mohd Asri Mat Daud berkata, syarat persijilan halal yang sudah dikuatkuasakan oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu akan diperluas kepada pihak berkuasa tempatan lain di negeri itu.


Katanya, pada masa sama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) turut membuka peluang untuk mendapatkan sijil halal kepada industri kecil, perhotelan serta individu yang mengusahakan produk makanan serta minuman di rumah.


Berdasarkan laporan itu, Asri berkata sebanyak 453 premis telah mendapat sijil halal dari Januari hingga Disember tahun ini, di mana 198 daripadanya di Kota Bharu, manakala 255 lagi di kawasan lain.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page