
Oleh: Akmal Manaf
Tindakan tegas mesti diambil mengikut lunas undang-undang demi memastikan isu berkaitan tiga penyampai radio mempersenda upacara keagamaan tidak berulang.
Ketua Srikandi KEADILAN Malaysia, Anetha Vallaitham Pillai berkata, Malaysia dibina atas dasar rasa hormat, keharmonian, dan toleransi antara semua kaum dan agama.
Oleh itu katanya, sebarang perbuatan yang menjejaskan perpaduan mesti ditangani dengan tegas bagi mengelakkan penularan sikap tidak sensitif dan tidak menghormati agama.
''Individu yang tidak boleh menghormati pegangan agama semua rakyat Malaysia tidak seharusnya diberikan platform atau keistimewaan menjadi 'public figure'.
''Mereka yang menyalahgunakan pengaruh untuk menyebarkan perkara berkaitan sensitiviti sepatutnya dilarang dan tidak layak untuk mewakili atau terlibat dengan masyarakat yang rencam kaum.
''Saya menggesa pihak berkuasa memandang serius isu ini sekali gus mengambil langkah yang sewajarnya demi menegakkan nilai hormat-menghormati dalam negara ini,'' katanya dalam satu kenyataan.
Dalam isu sama, Anetha berpendapat jika tiada tindakan tegas diambil, ia akan menjadi contoh yang tidak baik seperti sesiapa sahaja boleh mempermainkan amalan agama dan hanya meminta maaf untuk mengelakkan kesan akibat perbuatan itu.
''Saya amat marah dengan video baru-baru ini yang mengejek tarian kavadi, manakala sekumpulan rakan sekerja melaungkan 'Vel Vel'.
''Perbuatan ini adalah satu penghinaan yang terang-terangan terhadap kepercayaan dan tradisi penganut Hindu di Malaysia dan tidak boleh dipandang ringan.
''Saya akui kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang mengarahkan SKMM menjalankan siasatan menyeluruh termasuk memanggil pihak pengurusan stesen radio itu untuk mendapatkan penjelasan penuh.
''Saya juga mengambil maklum permohonan maaf dibuat stesen radio itu, namun permohonan maaf sahaja tidak memadai dan tindakan tegas mesti diambil berdasarkan undang-undang,'' ujarnya yang juga Ketua Cabang KEADILAN Seputeh.
Comments