Persenda upacara agama: Perlu dikenakan tindakan didik sensitiviti kaum
- Suara Keadilan
- Mar 6
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Susulan isu kontroversi tiga penyampai radio baru-baru ini, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) tampil mencadangkan agar tindakan yang lebih berstruktur dan mendidik diambil terhadap pihak yang terlibat.
Biro Aduan Rakyat dan Kebajikan AMK Malaysia, Gopiraj Nair berkata, tindakan itu antaranya termasuk penggantungan sementara daripada saluran radio untuk satu tempoh minimum iaitu sebulan sebagai langkah pengajaran.
Selain itu katanya, melaksanakan khidmat masyarakat mingguan untuk tempoh minimum tiga bulan dengan memberi tumpuan kepada aktiviti yang mempromosikan pemahaman dan penghormatan terhadap kepelbagaian agama dan budaya.
''Ketiga dicadangkan agar mereka menghadiri program kesedaran dan pendidikan bagi meningkatkan kefahaman tentang kepentingan menghormati kepercayaan dan amalan agama lain.
''Tindakan sebegitu bukan sahaja akan memberikan kesan yang lebih mendalam kepada individu terlibat, malah menjadi contoh baik kepada masyarakat tentang pentingnya menghormati sensitiviti agama dan budaya.
''Ia juga akan menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan keharmonian dan rasa hormat antara komuniti terus terpelihara,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Ujar Gopiraj lagi, sebagai individu yang berpengaruh dan memiliki platform awam, mereka seharusnya lebih peka dan bertanggungjawab dalam menjaga sensitiviti agama dan budaya masyarakat.
Beliau berpendapat, aspek keagamaan khususnya melibatkan amalan dan kepercayaan komuniti tertentu, tidak sepatutnya dijadikan bahan hiburan atau dieksploitasi untuk tujuan yang tidak sesuai.
Комментарии