Persenda takbir Aidilfitri PM perbuatan pelampau, khawarij - Ust Zawawi
- Suara Keadilan
- 5 days ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tindakan pihak menyunting video laungan takbir raya melibatkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim barangkali terpengaruh dengan pimpinan utama parti pembangkang yang suka memperlekeh dan mempersendakan orang lain.
Itu reaksi Penyelaras DUN Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang mengibaratkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu hanya mengikut trend pemimpin politik tertentu menghina orang tanpa berfikir panjang dan merupakan salah satu tabiat golongan khawarij.
''Tanpa sedar perbuatan dia itu sebenarnya (amat) tidak patut, mempersendakan orang bertakbir.

''Saya kira ini juga sebahagian daripada fahaman melampau.. maknanya dia nak kritik, tapi tak sedar.. itu bukan kritik.. itu menghina (sunting video PMX).
''Jadi fahaman melampau daripada kumpulan khawarij ini sepatutnya dikenakan tindakan lebih tegas daripada pihak kerjaaan supaya tidak berlarutan,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau yang juga mantan Exco Agama Islam Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video takbir melibatkan Anwar yang juga Presiden KEADILAN yang dipersendakan di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan pihak yang secara tidak sedar telah menghina ibadah sunat takbir Aidilfitri itu.
Tegas beliau, bukan semua perkara boleh dijadikan bahan sindiran dan gurauan sinikal, malah tidak semua perkara juga perlu dibangkang oleh penyokong pembangkang.
Katanya, takbir Aidilfitri adalah tanda keinsafan serta pengagungan kepada Allah Subhanahu wa-Ta’ala atas segala nikmat-Nya.
Sebelum ini beredar di media sosial beberapa video menggunakan rakaman suara Takbir Raya Aidilfitri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sengaja disunting audionya agar bergerak perlahan (slow motion) kemudian dijadikan bahan gurauan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tindakan menjadikan ibadah sunat takbir Aidilfitri itu sebagai bahan gurauan dan persendaan jelas bertentangan dengan ajaran Islam.
Comments