
Semua pihak diingatkan supaya menjaga sensitiviti keagamaan dalam setiap tindakan dan pertuturan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengeluarkan ingatan itu susulan insiden kakitangan sebuah stesen swasta disyaki mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, semua pihak perlu sentiasa mengamalkan sikap saling memahami dan bertoleransi dan mengelak daripada membuat sebarang kenyataan atau perlakuan yang boleh menyinggung kepercayaan agama lain serta menghormati kebebasan beragama sebagaimana yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
"Sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, Malaysia MADANI menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi serta kesejahteraan bersama.
"Sikap memperlekeh atau mempersendakan amalan keagamaan pihak lain bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan dan merosakkan keharmonian masyarakat.
"JAKIM ingin menegaskan, setiap agama perlu dihormati dan tidak boleh dijadikan bahan ejekan atau persendaan dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, tulisan, perbuatan mahupun di platform media sosial," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, media melaporkan penyampai radio 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani, memohon maaf di atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi iaitu upacara suci penganut Hindu ketika Thaipusam.
Stesen terbabit dilaporkan telah menurunkan video tersebut selain mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui laman rasmi aplikasi Facebook stesen radio itu.
Dalam pada itu Dr Sirajuddin menegaskan, prinsip Islam sebagai rahmat untuk semua harus dijadikan panduan bagi memastikan keamanan dan perpaduan terus terpelihara di negara ini.
"Islam sebagai sebuah agama yang menyuburkan kesejahteraan dan keharmonian telah mengajar kita melalui firman Allah dalam Surah Al-An'am, ayat 108 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.
"Demikianlah Kami memperelokkan pada pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan," tambahnya.
Comments