Kerja-kerja perobohan Stadium Shah Alam akan dipastikan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) supaya tidak mengganggu sistem saliran di kawasan sekitar.
Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) menerusi satu kenyataan di X berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan dengan teliti untuk memastikan keselamatan pekerja dan komuniti setempat selain prihatin dengan keadaan cuaca di Lembah Klang yang mengakibatkan kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekitar Shah Alam baru-baru ini.
"KSSA melaksanakan langkah tambahan untuk menguruskan kesan cuaca, termasuk penggunaan kolam takungan sedia ada bagi kelancaran sistem saliran dan mengelakkan gangguan.
"Keutamaan kami pastinya kesejahteraan semua yang terlibat serta meminimumkan sebarang kesulitan di kawasan sekitar," katanya dipetik.
Pada Selasa, beberapa kawasan termasuk Seksyen 13 berdekatan Stadium Shah Alam mengalami banjir kilat berikutan paras air Sungai Damansara meningkat susulan hujan lebat.
Stadium Shah Alam kini dalam proses perobohan bagi memberi laluan kepada pembinaan kompleks sukan bersepadu dengan pelbagai kemudahan di bawah satu bumbung bagi memenuhi keperluan masyarakat pelbagai peringkat usia.
Minggu lalu, Exco Sukan Najwan Halimi berkata perobohan Stadium Shah Alam dijangka selesai Mei 2025, dengan kadar kemajuan terkini mencecah 80 peratus sejak dimulakan awal Julai lalu dan dijangka selesai sepenuhnya Mei tahun depan.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI berkata pembangunan KSSA membabitkan tiga fasa dijangka siap sepenuhnya menjelang 2029.
Comments