Permukiman Menteri Luar ASEAN sambut positif gencatan senjata di Gaza
- Suara Keadilan
- Jan 20
- 1 min read

Menteri-menteri Luar ASEAN menyambut baik perkembangan terkini berkaitan gencatan senjata serta perjanjian pembebasan tawanan di Gaza.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sokongan itu telah dibangkitkan pada Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC).
Bercakap pada sidang media selepas penutup Permukiman AMM, Mohamad Hasan berkata menteri-menteri luar menyifatkan situasi di Gaza sebagai "sangat membimbangkan".
Pelan gencatan senjata ini dianggap membuka peluang untuk meredakan ketegangan serta memberi keutamaan kepada melindungi nyawa yang tidak berdosa.
Gencatan senjata yang dinantikan penduduk Gaza berkuat kuasa pada jam 11.15 pagi (waktu tempatan) pada Ahad, kira-kira tiga jam tertangguh susulan percubaan Israel melengahkan proses tersebut.
Antara rancangan gencatan senjata itu adalah Israel akan memperoleh semula kira-kira 100 tebusan dan mayat termasuk pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari tengah Gaza dan pemulangan penduduk Palestin yang dipindahkan ke utara daerah itu.
Sementara itu dalam sidang media sama Mohamad berkata, Menteri Luar ASEAN menasihatkan Myanmar supaya mengutamakan usaha menamatkan keganasan di dalam negara itu dan mematuhi Konsensus Lima Perkara (5PC) yang dipersetujui ASEAN.
Konsensus Lima Perkara itu antara lain menyeru agar keganasan dihentikan segera, dialog diadakan dalam kalangan semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN, serta membolehkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.
コメント