Oleh: Abdullah Zaid
Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) disarankan mengambil tindakan segera bagi mempermudahkan proses kelulusan pendaftaran koperasi di Sarawak.
Pengerusi KEADILAN Sarawak, Roland Engan berkata, hal itu susulan keluhan daripada pemohon-pemohon tertentu bahawa terdapat kelewatan.
Menurutnya, kelewatan yang tidak munasabah untuk kelulusan sijil pendaftaran berlaku setelah permohonan diserahkan ke pejabat cawangan tertentu.
"Secara khusus, saya terlibat "follow-up" pendaftaran suatu koperasi untuk penduduk Baram di Miri, Sarawak.
"Sijil pendaftaran masih belum sampai di pejabat Cawangan Miri sedangkan sijil tersebut telah diterima lebih hampir sebulan yang lalu oleh pejabat Suruhanjaya Koperasi Malaysia di Kuching, Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.
Oleh itu, Roland Engan menyeru pihak berwajib untuk segera mengambil langkah-langkah perlu bagi mempermudahkan pendaftaran kerana keperluan koperasi bagi memudahkan bantuan diperolehi terutama kepada usaha niaga atau pertanian masyarakat luar bandar.
"Ia bagi mempermudahkan segala urusan permohonan dan kelulusan serta penyerahan sijil pendaftaran Koperasi demi kebaikan rakyat," ujarnya lagi.
댓글