KEADILAN Sarawak memandang serius rintihan mangsa banjir yang tidak berpindah atau berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi terjejas teruk sepanjang banjir seminggu lalu.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, mangsa berkenaan seharusnya dipermudahkan oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan sebarang bantuan.
"KEADILAN Sarawak memandang serius rintihan mangsa banjir yang tidak berpindah dan berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara seluruh Sarawak. Mereka juga terjejas teruk akibat banjir.
"Oleh itu, seperti usul tergempar yang dibahaskan di Kamar Khas Parlimen beberapa hari yang lalu, pihak berwajib perlu mempermudahkan semua kelayakan pemohon dan proses permohonan bantuan ehsan banjir," katanya dalam kenyataan.
Tegasnya, pihak berkuasa sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri perlu mempercepatkan pengagihan bantuan kepada mangsa-mangsa yang terlibat dan layak.
"Bagi KEADILAN Sarawak, kami telah berpeluang terlibat untuk membantu mangsa mangsa banjir dalam skala yang sederhana mengikut kemampuan terhad kami," katanya kagi.
Dalam pada itu, Roland juga mengingatkan kerajaan pusat atau negeri agar mengambil serius kesan perubahan iklim dunia yang mengakibatkan banjir besar dan di laur jangka.
Katanya, kemungkinan banjir berlaku setiap tahun sebagai kesan pada perubahan iklim mesti dihadapi dengan bijak melalui persiapan program adaptasi dan mitigasi yang setanding dengan standard yang dicadangkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Untuk rekod, awal Februari lalu beberapa kawasan di sarawak ditenggelami banjir dengan 62 PPS dibuka di seluruh Sarawak dan mangsa banjir melebihi 12,000 orang.
Beberapa kawasan seperti Mukah, Miri, Kuching, Serian ditenggelami air yang disifatkan sebagai di luar jangka.
Comments