Pemeriksaan kenderaan penting bagi memastikan kenderaan perdagangan terutamanya sentiasa berada dalam keadaan baik di atas jalan raya.
Namun menurut Naib Ketua Pemuda AMANAH Negeri Perak, Ahmad Shafiq Ahmad Arifin, prosedur pemeriksaan yang sering berubah dan masalah birokrasi perlu diselesaikan terlebih dahulu agar lebih banyak pemilik kenderaan melakukan pemeriksaan.
"Pemuda AMANAH Negeri Perak memandang serius isu pemeriksaan teknikal dan birokrasi dalam proses keselamatan kenderaan yang semakin membebankan rakyat.
"Prosedur yang kompleks dan sering berubah bukan sahaja menyusahkan, malah boleh memberi kesan negatif kepada pematuhan keselamatan kenderaan di negara ini," katanya dalam kenyataan.
Bagi Ahmad Shafiq, perubahan peraturan yang kerap dan kurangnya penerangan jelas kepada orang ramai telah mewujudkan kekeliruan dalam kalangan pemilik kenderaan.
Ditambah pula dengan penguatkuasaan yang tidak konsisten, katanya, ia semakin menambah kesukaran rakyat untuk mematuhi undang-undang dengan betul.
"Kita mengakui kepentingan pemeriksaan keselamatan kenderaan, namun proses ini perlu dipermudahkan. Keperluan dokumen yang terlalu banyak dan prosedur yang rumit hanya akan menggalakkan pemilik kenderaan mencari jalan pintas yang mungkin boleh menjejaskan keselamatan.
"Kami menggesa kerajaan untuk mengkaji semula sistem sedia ada dengan memberi tumpuan kepada penambahbaikan yang boleh memudahkan rakyat tanpa mengkompromi aspek keselamatan.
"Ini termasuk mewujudkan prosedur yang lebih jelas, konsisten dan mudah difahami oleh semua pihak," katanya lagi.
Beliau berharap Menteri Pengangkutan mengambil inisiatif menambah baik perkara tersebut bagi memudahkan pemilik kenderaan memeriksa kenderaan terutama kenderaan yang telah berusia.
Comments