Permohonan maaf belas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak kelmarin meskipun diterima baik namun ianya harus dijadikan iktibar kepada semua pemimpin kerajaan terutama yang masih memegang kuasa atau jawatan.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda HARAPAN, Ammar Atan melalui surat terbukanya kepada Najib, beliau berharap langkah permohonan maaf kepada rakyat Malaysia dan mengakui beban hutang yang ditanggung akibat kecurangan kewangan dana pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu akan menjadi teladan kepada semua pihak.
Bagaimanapun, katanya, keadilan perlu terus ditegakkan bagi pihak rakyat yang telah menanggung kerugian akibat pelaburan berkenaan.
"Langkah ini (pohon maaf) adalah suatu keberanian yang terpuji dan mudah-mudahan menjadi teladan kepada semua.
"Namun izinkan saya membawa suara rakyat yang menuntut agar keadilan terus ditegakkan. Kecurangan yang berlaku tidak sekadar mencalar maruah negara, tetapi telah membebani generasi hari ini dengan hutang yang menggunung, yang kesannya akan dirasai oleh anak cucu kita kelak.
"Maka demi memastikan masa depan yang lebih cerah, kita harus menutup ruang agar sejarah yang pahit ini tidak diulang lagi.
"Penyelesaian yang jitu dan kebertanggungjawaban yang utuh harus menjadi benteng terakhir untuk menghindari masa lalu yang kelam," katanya dalam surat terbuka itu.
Dalam pada itu, Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional menganggap permohonan maaf tersebut secara tidak langsung telah menjelaskan bahawa tindakan undang-undang yang diambil terhadap Najib bukanlah sekadar soal peribadi tetapi langkah yang perlu demi menjaga maruah dan kesejahteraan negara.
Usaha berkenaan, katanya, adalah untuk memulihkan tatakelola kewangan negara yang mesti dipandu dengan integriti dan berakauntabiliti.
"Di sini, letaknya amanah, untuk memastikan pentadbiran yang sebaik-baiknya demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih terjamin.
"Selain itu biarlah peristiwa ini menjadi pengajaran buat semua pemimpin – hari ini dan akan datang – agar tidak diperdayakan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.
"Pengakuan Datuk Seri ini mengingatkan kita bahawa amanah yang dipikul menuntut jiwa yang teguh dan tanggungjawab yang luhur, bukan ruang untuk sebarang kepentingan peribadi atau pengaruh luar yang merosakkan," katanya lagi.
Justeru Ammar berharap tindakan Najib yang penuh kesedaran itu mampu menjadi penawar dalam memulihkan nama baik Malaysia di mata dunia, serta menyemai keyakinan di hati rakyat bahawa keadilan dan kebenaran akan sentiasa menjadi tonggak utama negara ini.
Comments