Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mempermudahkan urusan permohonan dan kelulusan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah bagi membolehkan lebih ramai peniaga atau pengusaha menawarkan juadah pada harga yang murah itu.
Timbalan Menterinya Fuziah Salleh berkata, prosedur operasi standard permohonan juga ditambah baik dengan memberikan kad tersebut secara automatik kepada peniaga yang sebelum ini menawarkan Menu Rahmah selain permohonan baharu di portal menu itu akan terus diluluskan.
"Sebelum ini kita letak syarat untuk pemeriksaan (terhadap kedai), itu ambil masa. Jadi lepas ini, sekiranya sesuatu premis tawar satu Menu Rahmah, maka ia terus layak mendapatkan kad diskaun.
"Ada juga kata sudah ada kad, cuma perlu daftar semula dan ini melambatkan proses. Jadi sekarang sekiranya mereka pernah tawarkan Menu Rahmah dahulu dan nama gerai atau syarikat sudah ada dalam sistem, mereka juga layak (dapat kad diskaun). InshaAllah dengan bantuan ini, mereka boleh terus bantu rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan Kad Diskaun Khas Menu Rahmah kepada peniaga gerai nasi ayam berempah Suzana Hanum Ibrahim, 40, yang telah menjual Menu Rahmah sejak 2022 di Nilai, Negeri Sembilan.
Fuziah berkata setakat ini lebih 2,800 peniaga di seluruh negara menerima kad diskaun berkenaan selepas ia dilancarkan pada 2 November tahun lepas.
Jelasnya kerajaan turut memperluaskan penawaran kad diskaun khas itu kepada penjaja dan peniaga kenderaan makanan (food truck) sekali gus membantu mereka menambah pendapatan.
Melalui kad itu, peniaga Menu Rahmah boleh menikmati potongan harga hingga 40 peratus apabila membeli barangan termasuk ayam, bawang dan barangan asas makanan yang lain di tujuh pasar raya terpilih bagi membantu mereka mengurangkan kos penyediaan menu berkenaan, katanya.
"Ramai peniaga sambut baik usaha ini, namun faktor di luar kawalan termasuk peperangan di negara luar memberi kesan kepada harga bahan mentah dalam negara, ada yang sekat eksport barangan dan menaikkan cukai, sebab itu kita menawarkan kad diskaun khas ini.
"Ini menunjukkan kita komited untuk membantu peniaga yang sungguh-sungguh mahu menawarkan Menu Rahmah sebab nak bantu rakyat, jadi kita perlu pastikan mereka dibantu sebaik mungkin. Kita juga mulakan kempen satu gerai satu Menu Rahmah, saya harap ramai yang akan sambut seruan ini," katanya dipetik.
Comentários