Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Sarawak perlu menjelaskan keperluan mengambil 800,000 tenaga kerja asing seperti yang dinyatakan oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, kelmarin.
Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit berkata, Kerajaan Negeri seharusnya menjelaskan keperluan menggunakan tenaga kerja asing sebanyak itu.
Hal itu, kata Abun, hanya akan menimbulkan rasa tidak puas hati pekerja tempatan yang dilaporkan banyak dibuang kerja, seperti contohnya 124 komuniti Penan ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat di kawasan Metalun Ulu Pelieran, Murum, Belaga baru baru ini.
"Saya sangat terkejut membaca laporan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah menyatakan syarikat di Sarawak memerlukan 800,000 orang asing untuk bekerja di negeri ini.
"Kita mahu pencerahan daripada Kerajaan Sarawak. Kenapa kekosongan 800,000 ini berlaku? Mengapa harus warga asing yang mengisi kekosongan itu?
"Jika Kerajaan Sarawak mempunyai maklumat kekosongan yang banyak, saya harap semua pihak, syarikat berkenaan mengambil 124 orang Penan yang dibuang itu untuk bekerja semula," katanya menerusi kenyataan.
Susulan isu tersebut, Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu menawarkan bantuan menggunakan saluran pejabatnya untuk membantu golongan yang memerlukan pekerjaan.
"Pihak syarikat yang kekurangan pekerja boleh menghubungi pejabat saya, supaya saya boleh bantu menwarkan pekerjaan tersebut kepada komuniti Penan yang telah dibuang kerja.
"Penganggur-penganggur tempatan lain juga diseru untuk mengisi kekosongan tersebut," ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan Sarawak memerlukan 800,000 pekerja asing bagi mengisi keperluan tenaga kerja di 85 kilang kelapa sawit yang beroperasi di seluruh negeri tersebut.
Sehubungan itu, Dr Stephen menggesa agensi berkaitan termasuk ejen pengambilan pekerja asing bekerjasama dalam memastikan proses pengeluaran visa ke Sarawak dapat disegerakan memandangkan ketika ini, ia mengambil masa terlalu lama.
Katanya, langkah itu penting bagi memenuhi keperluan mendesak tenaga kerja asing di Sarawak, terutamanya dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Komentáře