Oleh: Abdullah Zaid
KEADILAN perlu memikirkan pendekatan baharu bagi menarik pengundi muda untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
Pandangan itu diutarakan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang mahu formula baharu bagi memikat golongan belia.
Menerusi borak santai bersama Altimet, Ahli Parlimen Johor Bharu itu berkata, golongan belia kini hanya melihat KEADILAN sebagai sebuah parti kerajaan dan tidak mengetahuai proses perjalanan parti Reformasi itu terutamanya tokoh-tokoh dari pelbagai latar yang terdiri daripada aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Maka apa yang cuba kita rungkaikan adalah bagaiman KEADILAN melalui dasar-dasar pembaharuan boleh mendampingi anak muda supaya lebih menarik dan mengubah persepsi terhadap kita," katanya dalam program Karnival 25 Tahun KEADILAN di Sentul Depot, hari ini.
Katanya, dahulu pendekatan yang lebih menarik hati anak muda adalah melalui demonstrasi jalanan namun hal itu tidak lagi sesuai setelah KEADILAN menerajui Kerajaan Persekutuan.
"Tetapi kini kita perlu pendekatan yang lain sedikit, jadi kita kena tahu cara yang boleh mendekati anak muda," ujarnya.
Karnival 25 tahun KEADILAN yang berlangsung di Sentul Depot di sini, diadakan bagi merai pengorbanan dan sumbangan anggota KEADILAN dalam mewarnai liku perjuangan Reformasi sehingga berjaya menguasai pemerintahan negara.
Program bertemakan ‘Teruskan Perjuangan Reformasi’ itu berlangsung pada 9.00 pagi hingga 11.00 malam ini dengan pelbagai acara menarik termasuk persembahan Busker Bob dan nyanyian artis terkenal Kaka Azraff.
Program yang menyasarkan 10,000 pengunjung tersebut turut menawarkan pelbagai perkhidmatan agensi kerajaan, antaranya kaunter pembayaran saman, kaunter permohonan kad pengenalan dan kaunter berkaitan hal ehwal pensijilan halal bagi memudahkan urusan orang ramai.
Comments