Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) berharap misi flotila ke Gaza dapat meneruskan pelayaran mereka bagi membuktikan kepada masyarakat dunia bahawa Palestin wajar dibebaskan daripada penjajahan Israel.
Penasihatnya Nurul Izzah Anwar berkata, isu Gaza sudah menjadi persoalan sejagat di mana peperangan yang berlaku sekarang bukanlah antara Hamas dan Israel sebaliknya dengan seluruh rakyat Palestin yang berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik.
"Misi ini sudah menjadi sejagat, terdapat perwakilan dari pelbagai negara termasuk veteran perang Amerika Syarikat (AS), ini merupakan justifikasi moral yang cukup jelas. Namun misi moral ini sedang dihalang oleh tangan hitam di sebalik tabir," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran MAHAR di Kuala Lumpur hari ini.
Hadir sama Presiden MAHAR, Jismi Johari (gambar, kiri sekali) yang juga Pengerusi Sekretariat Op Ihsan.
Beliau mengulas mengenai misi pelayaran 'Pecahkan Sekatan: Flotila Pembebasan ke Gaza' sekali lagi ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Gabungan Freedom Flotilla (FFC), dalam kenyataannya sebelum ini mengumumkan, penangguhan berpunca daripada kekacauan dilakukan rejim Israel yang terus-menerus mahu menghalang pergerakan kapal-kapal terbabit dalam misi kali ini.
FFC mendakwa, rejim Zionis sedang memberi tekanan hebat kepada Republik Guinea Bissau untuk menarik balik benderanya daripada kapal utama yang digunakan dalam misi ini, Akdeniz.
Nurul Izzah berkata masalah yang dihadapi sekarang adalah hukum undang-undang antarabangsa sudah tidak dipedulikan oleh rejim Israel hingga menyebabkan masyarakat Palestin tiada lagi tempat bergantung.
"Saya gusar, flotila ini penting, begitu juga dengan gencatan senjata dan usaha mengheret Israel ke muka pengadilan. Kita harap bukan sahaja Malaysia (bersuara) tetapi hukum antarabangsa perlu dihormati
"Sekarang semua perhatian tertumpu kepada Rafah tetapi serangan tetap diteruskana dan akhirnya kini lebih 35,000 nyawa sudah terkorban. Misi kemanusiaan mesti dipertahankan untuk kita semua, mesti bersama dan lebih banyak lagi NGO desak agar Palestin dibebaskan," katanya.
Dalam pada itu, Jismi berkata flotila ke Gaza pada masa ini perlu mengambil keadaan paling buruk berdasarkan pengalaman semasa serangkan Israel ke atas flotila Rachel Corrie dan Mawi Marmara yang berlaku pada 2010.
"Kita harap flotila dapat atasi (masalah) dan misinya dapat disambung, itu harapan kita," katanya sambil memaklumkan MAHAR menghantar seorang wakil dalam misi flotila itu.
Katanya lebih banyak negara dan orang ramai perlu memberikan tekanan agar misi flotila itu dapat diteruskan.
"Kita ada jangkaan paling buruk dan ada jangkaan terbaik apabila kita dapat menghantar bantuan ke Gaza. Flotila ini ada pengalaman lebih 10 tahun mengenai isu semasa dan rantau Asia Barat. Ia merupakan gerakan antarabangsa untuk menghantar bantuan melalui laut. Ini untuk buktikan sebenarnya bukan saja di darat tapi Israel sekat bantuan dari laut, itu falsafahnya.
"Memang akan ada tentangan daripada Israel tetapi keadaan mungkin berbeza... kita tidak boleh nak cakap, perang pun sudah melebihi 200 hari, sekarang tidak pernah berlaku universiti-universiti utama di AS melakukan protes dan memberikan sokongan kepada Palestin, masyarakat dunia sudah membuka mata," katanya.
Comentários