
Ahli Parlimen Petaling Jaya menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil memberi keadilan kepada puluhan pemilik rumah dan premis yang menjadi mangsa kegiatan pendawaian haram perlombongan bitcoin.
Lee Chean Chung yang juga mendakwa telah dikunjungi lebih 20 mangsa kegiatan itu yang terpaksa menanggung bil sehingga ratusan ribu selain berdepan tindakan saman.
"Bayangkan apa yang mereka melalui, ada dua golongan. Satu rumah mereka tanpa pengetahuan dijadikan sebagai tempat pendawaian haram, satu lagi curi identiti.
"Tiba-tiba dapat surat ‘LOD’, dapat surat tuntutan kerugian bil mencecah ratusan ribu daripada TNB. Sememangnya mangsa-mangsa selepas menyedari ini berlaku, mereka membuat laporan dan cuba mencari penyelesaian namun TNB tidak membantu sebaliknya seolah-olah menyalahkan ‘sistem’.
"Banyak persoalan timbul termasuklah bagaimana bil tertunggak tidak dibayar selama beberapa tahun? Ada kes yang dari tahun 2019 hingga sekarang. Kita mohon sangat-sangat kepada TNB untuk melakukan sesuatu, SOP yang sedia ada ini perlu diperbaiki," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya membangkitkan isu itu menerusi satu sidang akhbar yang diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Petaling Jaya pada Jumaat.
Sementara itu Chean Chung mendakwa mangsa dari kegiatan itu dijangka melebihi 40 orang dengan melibatkan anggaran kerugian mencecah hampir RM8 juta.
Apa yang berlaku tegasnya bukan sahaja menyebabkan mangsa kini berdepan isu kewangan sebaliknya turut berdepan tekanan emosi susulan berdepan tindakan undang-undang atas perkara yang tidak dilakukan mereka.
"Undang-undang yang sedia ada sudah lapuk, perlu ada pindaan Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi memastikan tanggungjawab bersama antara pemilik rumah dengan penyewa terhadap penggunaan elektrik dan tidak hanya menyalahkan satu pihak sahaja dalam isu-isu seperti ini.
"Sebelum TNB diswastakan, ia adalah entiti kerajaan. Sepatutnya anda perlu lebih tahu dan perlu tengok merit kes mangsa sebelum ambil tindakan," ujarnya.
Sehubungan itu beliau bercadang membawa perkara ini ke Persidangan Dewan Rakyat pada Februari depan agar pindaan berkaitan dapat dilaksanakan pada kadar segera.
Comments