Oleh: Akmal Manaf
Keputusan kerajaan menguatkuasakan lesen penyedia platform media sosial di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari lalu merupakan satu langkah yang wajar meskipun terdapat segelintir pihak membantahnya konon menyekat kebebasan bersuara.
Bagi mantan Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, keputusan kerajaan menguatkuasakan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu tepat kerana Islam tidak pernah melarang pemerintah menguat kuasakan peraturan yang membawa kebaikan kepada rakyat.
Sebaliknya, kata beliau 'kebebasan bersuara' dalam Islam mesti mempunyai batasan undang-undang.
''Bukan bebas mutlak (sepenuhnya).. ada orang salah faham. Bila 'bebas' dia boleh cakap (apa sahaja di media sosial) semahunya.
''Tapi sebenarnya, kebebasan itu mesti dibatasi dengan undang-undang. Kalau tidak, orang akan kata semua berhak (walaupun melakukan perkara merugikan pihak lain).
''Hasilnya, urus tadbir negara jadi kacau sebab masing-masing menuntut hak,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kewajaran Kerajaan MADANI melaksanakan lesen ke atas penyedia platform atas talian di saat segelintir pihak mengaitkan hal itu dengan kebebasan bersuara.
Bagaimanapun, pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Akta 588) pada tahun lalu tidak menyekat kebebasan bersuara kerana Seksyen 211 yang dipinda menggantikan perkataan 'jelik' dengan perkataan 'jelik melampau' iaitu memberi lebih kebebasan kepada pengguna media sosial dalam berinteraksi atau mengkritik.
Tindakan hanya akan diambil apabila pengguna media sosial telah melepasi tahap 'melampau' dalam memberikan komen mereka.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, jika ada pihak yang merasa hak mereka tergugat kerana penguatkuasaan itu, undang-undang akan menjadi penentu untuk seseorang itu mendapatkan keadilan.
''Maslahat umum lebih diutamakan. Jadi, maslahat rakyat yang terbanyak itu harus diberi keutamaan.
''Pada asasnya media sosial ini baik, tetapi ada sesetengah orang menggunakannya untuk menabur fitnah dengan tujuan tidak baik. Benda ini lah yang pemerintah kena kawal,'' ujar beliau yang juga mantan Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun, Shah Alam.
Comments