Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan kerajaan memperkenalkan kawal selia baharu secara perlesenan terhadap perkhidmatan media sosial adalah bagi menangani jenayah siber yang berleluasa.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata garis panduan baharu yang diperkenalkan kerajaan itu kelak dijangka akan lebih berkesan untuk menangani jenayah atas talian.
Hal itu juga, menurut Setiausaha Politik Presiden KEADILAN itu akan secara tidak langsung mendorong penyedia platform menjadi lebih bertanggungjawab dan tidak hanya mengaut keuntungan dengan membenarkan kandungan sampah sarap dipaparkan di media sosial.
"Sebagai kerajaan bertanggungjawab, kawalan terhadap platform media sosial adalah suatu kemestian dan merupakan langkah kehadapan dalam menjaga keharmonian rakyat," katanya kepada Suara Keadilan.
Semalam Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam kenyataan memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Kenyataan itu menjelaskan langkah berkenaan akan dikuat kuasakan bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
Jelas MCMC, penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet di negara ini mesti mematuhi undang-undang Malaysia.
Langkah itu kata MCMC, adalah bagi memerangi kes jenayah siber termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang semakin membarah.
Comments