Perlesenan platform media sosial di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari lalu akan memberi manfaat besar kepada masyarakat dan negara.
Menurut Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu, Ahmad Nadhir Yob, dengan perlesenan berkenaan pengguna media sosial bakal lebih terlindung daripada jenayah atau berita palsu yang sebelum ini mengelirukan dan membahayakan mereka.
"Keputusan untuk perlesenan media sosial disambut baik oleh masyarakat dan banyak kebaikan akan diperolehi terutama dalam perlindungan daripada scammer, unsur pornografi dan juga menangkis berita palsu yang dibuat oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar masyarakat memberi sokongan kepada kerajaan dalam melaksanakan kawal selia ke atas platform pengendali media sosial.
Ahmad Nadhir juga berharap pengguna media sosial selepas ini akan lebih patuh kepada undang undang dan peraturan serta tidak menganggap kerajaan cuba menyekat kebebasan bersuara dengan peraturan baharu berkenaan.
"NGO intelek menyeru kepada semua pengguna media sosial agar sentiasa melihat dan mengikut tatakelola dan juga undang undang yang termaktub dalam pentadbiran media sosial di Malaysia.
"Ianya bagi mengelak negara dan masyarakat menghadapi pelbagai masalah yang sepatutnya tidak timbul apabila semua pihak mengambil sikap berhemah dalam menggunakan media sosial," katanya lagi.
Untuk rekod, jenayah di media sosial meningkat saban tahun sehingga kerajaan melalui MCMC memutuskan untuk mensyaratkan platform media sosial menyekat aktiviti jenayah atas talian. Misalnya, statistik yang dikeluarkan menunjukkan jenayah penipuan tas talian seperti scam meningkat daripada 2,675 kes pada 2022 kepada 4,180 kes pada 2023 dan mencatatkan kerugian yang tidak sedikit kepada masyarakat.
Sebelum ini, dalam kenyataan MCMC pada awal Januari lalu, penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial ByteDance (TikTok) serta Tencent (WeChat) dinyatakan sebagai dua syarikat terawal yang diberi lesen untuk membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
MCMC berkata, dua syarikat itu adalah antara empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama yang mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Januari 2025.
Comments