Oleh: Akmal Manaf
Pelaksanaan pelesenan platform media sosial di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai dasar terbaharu Kerajaan MADANI merupakan langkah penting bagi memastikan akauntabiliti lebih besar dalam ruang digital dan akan membantu mewujudkan persekitaran dalam talian yang selamat dan inklusif.
Bagi Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran pujian harus diberikan kepada MCMC dan platform media sosial WeChat, Telegram, Meta dan TikTok yang saling berkerjasama dalam Rangka Kerja Pelesenan Media Sosial yang berkuat kuasa semalam.
"Minggu lalu, kita melihat betapa pentingnya peranan kerjasama antara SKMM, polis dan platform media sosial dalam mendedahkan dan menangkap jenayah dalam talian.
"Ia selepas Ops Pedo (dilaksanakan dengan) beberapa siri serbuan ke atas individu yang disyaki memiliki dan mengedar Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM) yang mengakibatkan 13 individu ditahan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau lagi, platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) mengatakan bahawa mereka tidak memenuhi kapasati 8 juta pengguna yang akan melayakkannya untuk permohonan lesen.
Namun begitu, kata Yuneswaran, platform itu seharusnya mengambil lesen sebagai langkah kerjasama memudahkan penguat kuasaan dilakukan.
"Mungkin mereka boleh mempertimbangkan untuk memohon (lesen) dalam apa jua keadaan.
"Saya juga ingin menggesa Google, sebagai syarikat induk YouTube untuk terlibat secara konstruktif dengan SKMM untuk menyelesaikan sebarang isu tertunggak dan mematuhi rangka kerja pelesenan," ujarnya.
Untuk rekod, penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial ByteDance (TikTok) dan Tencent (WeChat) menjadi dua syarikat terawal diberikan lesen bagi membolehkan mereka beroperasi di negara ini.
SKMM semalam berkata, dua syarikat itu adalah antara empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama yang mengambil langkah signifikan pematuhan kawal selia yang ditetapkan kerajaan bermula 1 Januari 2025.
Comments