Oleh: Akmal Manaf
Perlesenan pengendali platform media sosial di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bermula 1 Januari lalu merupakan langkah terbaik bagi menangani atau membendung jenayah penipuan atas talian yang berleluasa di platform berkenaan.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, perlesenan itu merupakan langkah ke arah akauntabiliti yang lebih baik.
Menurutnya, penguatkuasaan berhubung lesen itu adalah perkara yang dekat di hati beliau kerana dirinya telah membantu ramai mangsa penipuan dan hal itu adalah masalah yang sangat meluas serta perlu ditangani segera.
Ujarnya, jumlah kerugian di bawah kiraan #ScamVictimSupport telah melebihi RM10 juta, malah ada mangsa yang masih trauma bertahun-tahun selepas ditipu.
"Secara ringkas, kami memerlukan platform untuk mengambil lebih banyak akauntabiliti dan tanggungjawab bagi meningkatkan keselamatan dalam dunia digital.
"Adalah sesuatu yang baik untuk melihat penyertaan daripada WeChat, Telegram, TikTok dan Meta dalam inisiatif ini.
"Saya juga menggesa (syarikat) Google untuk turut terlibat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia agar mereka juga boleh mengambil bahagian dalam proses tersebut," katanya dalam kenyataan.
Chean Chung yang juga Pengarah Komunikasi KEADILAN Malaysia turut menzahirkan rasa optimis untuk melihat perkembangan yang lebih positif dalam dasar terbaharu daripada Kerajaan MADANI itu.
Meskipun tidak semua pihak mungkin menyertainya, namun katanya kemajuan yang dicapai setakat ini adalah sesuatu memberangsangkan.
"Kerjasama dengan pihak berkepentingan pada masa hadapan adalah penting untuk mencapai objektif yang lebih luas bagi ekosistem digital yang selamat dan bertanggungjawab.
"Saya juga mengambil maklum tentang usaha Kementerian Komunikasi dan SKMM untuk memelihara kebebasan bersuara, di samping memperluaskan peraturan dan akauntabiliti," katanya lagi.
Comments