Perlesenan media sosial tangani aktiviti tidak bermoral, penipuan atas talian
- Suara Keadilan
- Feb 9
- 2 min read

Tindakan kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan perlesenan platform media sosial mulai 1 Januari lalu disokong pempengaruh terkenal Mustapa Mansor Amer Mohd Isa (gambar).
Beliau yang juga pengerusi Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat berkata, keputusan kerajaan menguatkuasakan Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu tepat pada masanya kerana media sosial sebelum ini telah secara berleluasa disalah gunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melancarkan aktiviti tidak bermoral, mengedar bahan pornografi, scammer, pencari kerja dan pelbagai bentuk penipuan lainnya.
"Jadi langkah MCMC melesenkan platform media sosial ini tindakan terbaik. Saya yakin dengan perlesenan ini secara langsung pihak kerajaan dapat mengawal aktiviti haram secara online.
"Aktiviti haram ini ada macam macam, ada pornografi, scammer, kerja di luar negara, pelaburan online yang saya lihat amat merbahaya kepada rakyat.
"Banyak orang pencen menghabiskan wang mereka tanpa sebab akibat scammer tersebut," katanya kepada Suara Keadilan.
Selain itu, menurut Mustapa, media sosial juga diguna untuk melancarkan serangan fitnah ke atas kerajaan atau individu, dan hal itu katanya, amat tidak sihat.
"Begitu juga dengan komen yang tiada asas, bahkan kita lihat komen fitnah. Oleh kerana dia ada follower berjuta maka dia boleh buat fitnah, sama ada fitnah terhadap kerajaan atau fitnah terhadap individu.
"Saya yakin tindakan perlesenan ini memberi kesan positif," katanya.
Ditanya adakah sebagai pempengaruh perlesenan itu akan menjejaskan kebebasan bersuara, Mustapa berkata, golongan pempengaruh yang bertanggungjawab tidak akan terjejas, sebaliknya yang sering melempar fitnah akan merasai akibatnya.
"Bagi kami pempengaruh ini tidak terjejas malah kami rasa lebih selamat, lebih terjamin dan lebih bertanggungjawab. Saya rasa bukan sahaja tanggungjawab ke atas individu pempengaruh, tetapi kepada semua rakyat Malaysia supaya membuat komen, memberi pandangan dan idea secara bertanggungjawab," katanya lagi.
Untuk rekod, pada Disember tahun 2024 Dewan rakyat telah meluluskan pindaan kepada Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Akta 588).
Antara yang dipinda ialah Seksyen 211, meminda menggantikan perkataan 'kandungan jelik' dengan perkataan 'kandungan yang sumbang dan lain-lain', manakala dalam Seksyen 211 (b)(1) memotong perkataan 'atau orang lain yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan' serta menggantikan perkataan 'jelik' dengan perkataan 'jelik melampau'.
Pindaan undang undang ini memberi lebih kebebasan bersuara dan tindakan hanya akan diambil terhadap pengguna media sosial yang melakukan kesalahan melampaui had kebebasan dibenarkan.
Comments