Perlawanan futsal persahabatan antara pasukan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (Wilayah Persekutuan), Koperasi Kakitangan Felda Malaysia Berhad (Felkop), dan Koperasi Keadilan Berhad (KIRA) baru baru ini bukan sahaja berjaya meningkatkan ukhwah tetapi juga memperkukuh kerjasama antara Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan koperasi milik KEADILAN, KIRA.
Menurut Pengerusi KIRA, Raiyan Abdul Rahim, perlawanan persahabatan di Arena Sukan Kuala Lumpur, Setapak itu adalah memenuhi undangan Penolong Pengarah Kanan SKM, Mohamad Kamarulzaman Mohamad Annuar Mus'adad dalam konteks mengeratkan hubungan kerja sesama koperasi melalui aktiviti riadah.
"Jemputan ini dilihat peluang yang amat baik untuk mengeratkan lagi hubungan antara organisasi sambil menggalakkan budaya sihat dan aktif dalam kalangan anggota koperasi
"Selain riadah di gelanggang, acara itu juga menjadi wadah perbincangan dua hala antara KIRA dan SKM (Wilayah Persekutuan).
"Antara intipati penting perbincangan termasuklah berkenaan aspek sokongan yang boleh diberikan oleh SKM dalam usaha memacu pembangunan dan perniagaan KIRA pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan.
Menurut Raiyan, pasukan KIRA pada hari itu diketuai oleh Ahli Lembaga KIRA, Che Zam Hamzah merangkap Setiausaha Politik Menteri Ekonomi.
Katanya, dengan semangat kesukanan yang tinggi acara itu bukan sahaja menjadi medan riadah, tetapi juga menyumbang kepada peningkatan kolaborasi strategik antara koperasi yang terlibat bagi mengukuhkan jaringan kerjasama antara koperasi.
Comments