Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Madani melakukan langkah yang tepat apabila meminda Akta Komunikasi dengan tujuan memperketatkan undang undang bagi membendung jenayah seksual ke atas kanak kanak.
Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar berkata demikian mengulas artikel di terbitkan New Straits Times yang mengupas isu pronografi kanak kanak buatan tempatan didagangkan di internet.
Beliau menyokong usaha kerajaan agar semua perkhidmatan media sosial selepas ini memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), atau memperketat akta sedia sebagaimana yang telah dipinda di Dewan Rakyat pada sesi Okt - Dis lepas.
Onn berkata, hujah menyatakan pindaan berkenaan menjejaskan hak bersuara rakyat adalah tidak tepat memandangkan kerosakan yang dibawa oleh penjenayah ke dalam masyarakat jauh lebih buruk.
"Saya setuju (ketatkan akta).. kita perlu mengetatkan undang-undang. Kebebasan bersuara ada batasnya.
"Langkah tersebut (mengetatkan undang-undang) secara tidak langsung berupaya mendidik pengguna media sosial supaya menjadi seseorang yang bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Presiden KEADILAN diminta mengulas mengenai realiti yang berlaku di alam siber menyaksikan pelbagai cara penjenayah memperdagangkan bahan pornografi kanak-kanak.
Hari ini, sebuah media tempatan arus perdana melaporkan bahawa bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) amat mudah diakses di negara ini, dengan video dijual di platform media sosial pada harga serendah RM1.
Laporan itu menyebut, permintaan yang semakin meningkat untuk kandungan sedemikian menyemarakkan lagi pengeluaran bahan pornografi kanak-kanak buatan tempatan, menimbulkan kebimbangan mendalam tentang keselamatan golongan itu.
コメント