top of page

Perkeso disaran perluas perlindungan pekerja gig selain pemandu Grab

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 28, 2024
  • 2 min read



Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dicadangkan agar memperluaskan skop perlindungan merangkumi lebih banyak pekerja gig selepas melaksanakannya bagi pemandu Grab.


Ahli Parlimen Batu Gajah, V. Sivakumar berkata, perlindungan sepenuhnya yang diberikan kepada pemandu Grab menjadi satu pencapaian penting dalam usaha Perkeso menyokong pekerja gig di negara ini.


"Untuk langkah seterusnya, saya mencadangkan agar Perkeso memperluas skop perlindungan yang merangkumi lebih banyak jenis pekerja gig dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perlindungan sosial dalam kalangan pekerja gig.


"(Perkeso juga perlu)...bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat platform digital untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan perlindungan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.


Sivakumar yang juga bekas Menteri Sumber Manusia berkata, perluasan perlindungan Perkeso kepada pemandu Grab merupakan langkah penting dalam evolusi perlindungan sosial di Malaysia.


"Ini menunjukkan komitmen pihak berkuasa dalam menangani keperluan tenaga kerja moden dan meletakkan asas untuk perlindungan yang lebih komprehensif bagi semua pekerja gig pada masa hadapan


"Sebagai bekas Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Batu Gajah, saya berbesar hati melihat hasrat untuk melindungi pekerja gig akhirnya menjadi kenyataan. Perkembangan ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha melindungi hak-hak pekerja dalam ekonomi gig yang berkembang pesat," ujarnya.


Sivakumar berkata jumlah pekerja gig di Malaysia semakin meningkat, mengikuti trend global dan ramai pekerja kini memilih pekerjaan fleksibel untuk mencapai keseimbangan kerja dan hidup yang lebih baik.


Dianggarkan terdapat 1.3 juta pekerja gig di pelbagai platform di Malaysia dengan cabaran utama yang dihadapi oleh golongan itu adalah kekurangan jaminan perlindungan yang diberikan kepada mereka.


"Perlu ditekankan bahawa pekerja gig tidak diklasifikasikan sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955. Oleh itu, mereka tidak dilindungi di bawah akta ini dan hanya dilabelkan sebagai pekerja gig, yang menyebabkan mereka tidak mempunyai perlindungan pekerjaan yang formal.


"Saya memuji usaha Perkeso terutamanya dengan pengenalan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) untuk pekerja bebas. Inisiatif ini bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pekerja tetapi juga menyokong pertumbuhan mampan ekonomi gig di Malaysia," katanya.


Pada Jun lalu, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dilaporkan berkata lebih 180,000 rakan pemandu (e-hailing) dan penghantar (p-hailing) Grab Malaysia menerima tajaan caruman SKSPS untuk tempoh 12 bulan bermula dari tarikh didaftarkan.


"Tajaan Grab Malaysia adalah menerusi inisiatif Belanjawan 2024, di bawah geran padanan caruman SKSPS, dengan 90% ditanggung kerajaan manakala baki 10% ditaja sepenuhnya Grab Malaysia," kata laporan itu memetik Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.


Menurut data Kesuma, sehingga 24 Mei lalu, sebanyak 2,033 kes tuntutan diterima dan diproses dengan pembayaran faedah keseluruhan mencecah lebih RM8.93 juta merangkumi 20 sektor.


Daripada jumlah itu, sektor e-hailing dan p-hailing mencatatkan sebanyak 631 kes tuntutan dengan pembayaran faedah berjumlah RM3.3 juta dan dalam tempoh sama, Perkeso turut merekodkan seramai 622,473 pencarum SKSPS aktif setakat 24 Mei lalu.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page