Oleh: Abdullah Zaid
Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) di antara Malaysia dengan Singapura dijangka ditandatangani pada September ini.
Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, rundingan kedua-dua negara sudah di peringkat akhir dan akan memuktamadkan perjanjian berkenaan menjelang Sesi Permukiman Tahunan Pemimpin dua hala antara pemimpin Malaysia dan Singapura.
"Kami yakin kami dapat menyelesaikan isu-isu berkaitan dan menandatangani perjanjian itu tepat pada masanya sebelum tarikh akhir yang ditetapkan," katanya pada sidang media sempena Forum Pelaburan Zon Ekonomi Khas Johor Singapura bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, hari ini.
Mengulas lanjut bentuk insentif yang akan disediakan kerajaan untuk JS-SEZ, Rafizi berkata, pakej insentif fiskal dan bukan fiskal untuk zon berkenaan dijangka diumumkan dalam Belanjawan 2025.
Jelas beliau, perjanjian yang dijangka dimeterai pada September ini akan menyediakan rangka kerja keseluruhan kerjasama dan komitmen Malaysia dan negara seberang Selat Tebrau itu.
Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong menandatangani memorandum persefahaman antara Malaysia dan Singapura berhubung pembangunan JS-SEZ pada 11 Januari lalu.
Penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura itu akan mengambil contoh usaha pembangunan Zon Ekonomi Shenzhen merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah RM1.93 trilion pada 2021.
Selain itu, zon khas tersebut akan memperkukuhkan lagi hubungan baik antara Johor dan Singapura untuk kemakmuran dan kemajuan kedua-dua belah pihak.
Comments