Ancaman Pas akan mengadakan perhimpunan besar besaran di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada hari Mahkamah Rayuan mengumumkan keputusan berkenaan kes kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung perintah tahanan di rumah ke atas bekas Perdana Menteri (PM) Najib Razak merupakan tindakan oportunis dari parti pembangkang itu.
Pas diketahui sebelum ini tidak pernah memperjuangkan pembebasan Najib dan malah tidak peduli tokoh UMNO itu masuk penjara sepanjang parti berkenaan berada dalam Kerajaan Persekutuan (2020 - 2022), tiba tiba 'buang tabiat' menjadi pembela tegar kepada Najib.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, biarpun terdapat isu undang undang berhubung kenyataan Jabatan Peguam Negara semalam berkenaan Lembaga Pengampunan, dan seolah olah membayangkan agar keluarga Najib memohon semula pengampunan di bawah Yang di-Pertuan Agong baharu Sultan Ibrahim, namun perhimpunan 6 Januari merupakan isu besar terutamanya kepada masa hadapan Kerajaan Perpaduan.
Menurut Hassan, Pas pasti akan cuba menggugat kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-BN dan meyakinkan penyokong Najib dalam UMNO bahawa mereka akan menyokong pengampunan sekiranya kembali bersama dalam satu wadah politik.
"Parti Pas cepat menangguk di Air Keroh untuk mendapat laba politik dengan menggerakan satu usaha menganjurkan perhimpunan besar di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari 2025.
"Pas secara rekod mempunyai keupayaan untuk mengemblengkan ahli-ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan-perhimpunan besar sebelum ini.
"Pemimpin Bersatu melalui Ketua Wanitanya, YB Masjid Tanah telah menyatakan secara terbuka bahawa Bersatu tiada halangan jika anggota parti itu turun ke jalanraya pada 6 Januari di Putrajaya.
"Dalam masa sama Dr Puad Zarkasi anggota Majlis Tertinggi UMNO pula mengalu-alukan sokongan Pas," katanya dalam kenyataan.
Menurut Hassan, pemimpin Kerajaan cukup faham kesan politik terhadap siri-siri perhimpunan raksasa oleh rakyat jelata seperti Bersih 1 hingga Bersih 5 yang telah menggugat kerajaan Najib Razak dan BN.
Begitu juga, katanya, himpunan UMNO dan Pas menggugat Kerajaan PH 1.0 dalam isu ICERD dan Statut Rome sehingga kerajaan PH tumbang selepas 22 bulan.
Oleh itu, katanya, tidak mustahil membayangkan hal itu maka Kerajaan membenarkan Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan berhubung permohonan kedua kepada Lembaga Pengampunan supaya ada lorong keluar dari mengelak ketegangan sekiranya penyokong Najib kelak benar benar berhimpun bersama PN pada 6 Januari itu.
".... maka dikeluarkan kenyataan media oleh Jabatan Peguam Negara, iaitu apapun berlaku di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari, kedudukan kes pengampunan terhadap Najib tidak menempuh jalan gelap memanjang. Mungkin ada sinar di hujung terowong.
"Kenyataan media Jabatan Peguam Negara ini memberi isyarat awal bahawa permohonan pengampunan Najib masih boleh dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim," katanya lagi.
Comments