Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan ke Qatar bermula hari ini hingga 14 Mei depan untuk lawatan kerja rasmi.
Kementerian Luar (Wisma Putra) melalui satu kenyataan memaklumkan lawatan sulung Perdana Menteri ke negara teluk itu adalah atas jemputan Amir Qatar Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani dan bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia - Qatar.
Lawatan tersebut dijangka akan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama di antara Malaysia dan Qatar di dalam pelbagai aspek.
"Perdana Menteri akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
"Selain diberikan sambutan rasmi, Perdana Menteri juga akan menghadap Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani," kata kenyataan itu.
Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.
Dari Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 178.4% kepada RM1.43 bilion (AS$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) untuk tempoh yang sama pada 2023.
Sementara itu Wisma Putra memaklumkan, pada lawatan itu Perdana Menteri akan menyertai Forum Ekonomi Qatar (QEF) Keempat 2024 dan bertemu dengan kapten-kapten industri dan para pelabur dari Qatar sebagai usaha menarik pelaburan bagi inisiatif Ekonomi MADANI .
Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Sheikh Mohammed Bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani.
"Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala terutamanya mengenai kerjasama ekonomi dan pendidikan serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa, termasuk konflik Palestin-Israel," tambah Wisma Putra.
Comments