
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan jawatankuasa eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan diarah mempercepat siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihatnya.
Arahan itu diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa susulan isu berkaitan pemberian projek bernilai RM4 juta kepada syarikat dikaitkan dengan individu tersebut.
"Jika terdapat sebarang pelanggaran tata kelola, tindakan tegas akan diambil.
"Kerjasama sepenuhnya akan diberikan sekiranya ada siasatan ingin dilakukan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan," kata Zaliha dipetik.
Terdahulu, tular dakwaan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.
Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat tersebut dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif pada Selasa mengesahkan siasatan mengenai perkara itu sedang dijalankan.
Tambah beliau, unit integriti sedang dalam proses mendapatkan fakta untuk menentukan langkah seterusnya, termasuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Kami komited untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua urusan DBKL. Jika ada sebarang kesalahan ditemui, tindakan sewajarnya akan diambil," katanya.
Comments