top of page

Percampuran beras tempatan-import: Kerajaan kaji Akta Kawalan Padi dan Beras



Percampuran antara beras tempatan dan import yang dituduh pembangkang sebagai kelemahan Kerajaan Madani sehingga Beras Putih Tempatan (BPT) amat kurang di pasaran berlaku akibat kelemahan Akta Kawalan Padi dan Beras.


Hal itu, menurut kenyataan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan dikaji dan diperbaiki bagi mengenal pasti kaedah terbaik yang akan menguntungkan rakyat.


Sebelum itu, menurut kenyataan tersebut KPKM telah menyempurnakan siasatan mengenai kehilangan BPT dan dakwaan pencampuran beras dengan mengenalpasti serta memperkenalkan teknologi baharu pengesanan pencampuran beras melalui penggunaan cap jari asid deoksiribonukleik (DNA).


"Berdasarkan bukti yang diperolehi daripada penggunaan teknologi ini, KPKM mendapati Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) serta perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang jelas mengenai pendakwaan kesalahan percampuran beras di mahkamah.


"Manakala hasil kajian umum Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN) pada 17 Disember 2024 pula mendapati pencampuran BPT dan BPI bukanlah amalan baharu, sebaliknya telah berlaku sejak tahun 1970-an dan tiada sebarang usaha dijalankan sejak 50 tahun lalu untuk mengawal aktiviti ini," kata kenyataan itu.


Menurut kenyataan itu lagi, susulan Mesyuarat JKKMN dan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Disember tahun lalu telah meminta KPKM untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan.


Oleh itu, kata KPKM, untuk tidak terus mengelirukan rakyat mengenai pencampuran beras dan tidak merugikan kerajaan maka kaedah penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif dicadangkan untuk pertimbangan Jemaah Menteri.


Selain itu, tambah kenyataan berkenaan, siasatan mengenai kehilangan BPT turut terjawab apabila Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang ditubuhkan oleh KPKM mendapati punca kekurangan bekalan BPT disebabkan masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BPT serta tiadanya peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras di dalam Akta 522.


Begitu juga harga siling BPT telah ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram sejak tahun 2008 yang mana pada waktu itu harga belian padi sekitar RM750 per metrik tan. Selepas 17 tahun, harga minimum belian bagi satu tan padi telah diselaras sebanyak dua kali iaitu RM1,200 pada tahun 2014 dan RM1,300 pada tahun 2024 dengan penyelarasan terkini telah berkuat kuasa pada 16 Februari 2025 adalah RM1,500, namun harga siling BPT masih tidak berubah.


"Dalam situasi ini, pesawah mahu mendapatkan harga padi yang tinggi bagi meningkatkan pendapatan, pengilang dan pemborong pula ingin mengekalkan margin keuntungan manakala pengguna hendak mendapatkan beras berharga RM26 bagi 10 kilogram.


"Jadi wujud ketidakseimbangan dalam industri kerana setiap penyelarasan harga lantai belian padi tanpa disertai dengan semakan harga siling BPT boleh menyebabkan pengeluar beras tidak dapat menampung kos pengeluaran, yang akhirnya menjejaskan bekalan BPT di pasaran," ujarnya.


Justeru, bagi mencari solusi ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna maka Kerajaan MADANI melalui KPKM telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober 2024.


"Antara langkah awal yang diambil adalah dengan menstruktur semula tadbir urus bagi mengelakkan konflik kepentingan, mengkaji semula Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), menubuhkan Agensi Regulatori dan Penguatkuasaan Agromakanan Malaysia (MAREA) dan memperkasakan peranan MARDI dalam mengenalpasti varieti beras melalui teknologi DNA.


"Bagi berlaku ihsan terhadap kehidupan rakyat pula Kerajaan MADANI memberikan subsidi sekitar RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram. Langkah ini untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapat bekalan beras pada harga berpatutan dan seterusnya membantu mengurangkan kos sara hidup mereka," kata kenyataan itu lagi.


KPKM berharap langkah-langkah yang diambil itu akan mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page