
Peranan wanita dalam masyarakat dan negara amat penting.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 yang bertemakan “Wanita Beraspirasi, Membina Legasi” di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Katanya, program pemerkasaan wanita dalam tempoh dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani belum sepenuhnya sempurna dan banyak yang boleh diperbaiki.
"Maknanya ruang itu ada untuk kita perbaiki. Sebab mahu menjayakan Kerajaan Madani, bermula dengan menjayakan keluarga, memastikan disiplin sekolah dan anak-anak, asas keilmuan, serta keharmonian. Jadi, peranan wanita itu sangat integral.
"Kalau kita tidak pandang hal ini sebagai yang serius, maka konsep Madani itu tidak dapat kita cernakan," katanya dipetik Astro Awani.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri.
Sementara itu dalam muat naik di media sosial, PM menegaskan, wanita adalah watak penting bagi pembinaan generasi yang bersalut kasih sayang selain mengajar erti kehidupan, kemanusiaan, ihsan dan juga didikan agama.
"Sosok lembut ini diangkat sebagai tokoh-tokoh utama dalam Kerajaan MADANI yang diberikan peluang dan kedudukan yang baik, dengan prestasi yang membanggakan.
"Saya turut menggesa agar sektor swasta meneliti faktor kekurangan wanita di peringkat tertinggi pengurusan syarikat dan menambah jumlah penglibatan mereka.
"Marcapada menuntut kebersamaan semua untuk meningkatkan program pemerkasaan wanita supaya dapat dimanfaatkan oleh segenap lapisan masyarakat dan juga kepada negara secara keseluruhannya," kata beliau lagi.